ekstra

Air mata Marawi

Oleh Reuters

SEORANG penduduk, Mohammad Ali Acampong baru saja siap mengubah suai rumahnya sejak seminggu lalu sebelum tempat tinggalnya dihujani peluru dan bom hingga menyebabkan kemusnahan paling teruk di seluruh bandar Marawi, Filipina.

Kira-kira dua tahun lalu, kumpulan militan pro-Daish menguasai kawasan itu untuk mewujudkan wilayah sendiri hingga memaksa 100,000 penduduk melarikan diri dalam konflik paling lama sejak Perang Dunia Kedua.

Keadaan itu menyebabkan Mohammad Ali, 42, yang juga seorang pegawai kerajaan terpaksa meninggalkan rumah tiga tingkat di tepi tasik bersama lapan ahli keluarganya.

“Ketika tercetusnya huru-hara, kehidupan menjadi amat sukar. Kami sebelum ini hidup dengan selesa namun kini terpaksa hidup dalam keadaan serba kekurangan di tempat perlindungan sementara,” katanya.

Keluarga itu meneruskan kehidupan di sebuah rumah sementara di pinggir bandar itu dan terpaksa berebut sumber keperluan asas dan bekalan air dengan ribuan keluarga lain.

Bandar Marawi yang sebelum ini dianggap sebagai salah satu bandar paling cantik di Filipina kini hanya tinggal sisa konkrit hangus dan rangka bangunan selepas tentera melancarkan serangan udara dan meriam selama 154 hari selain terdapat periuk api di merata tempat untuk menewaskan pemberontak.

Sekurang-kurangnya 500 keluarga hidup merempat dan menjadi pelarian di negara sendiri apabila hanya mampu berteduh di khemah plastik.

“Khemah agak baik, tetapi cabarannya cuma cuaca. Jika hujan, kami agak kesejukan dan jika panas pula, suhunya keterlaluan. Harapan kami hanyalah untuk kembali ke Marawi namun sejujurnya saya sanggup ke mana saja asalkan keluar dari kawasan ini,” kata Asnia Sandiman, 25, yang bekerja sebagai tukang jahit.

Konflik itu menyaksikan beratus-ratus militan, 165 anggota tentera dan sekurang-kurangnya 45 orang awam terbunuh sepanjang tempoh lima bulan.

Pada 2017, Presiden Rodrigo Duterte mengisytiharkan bandar itu bebas daripada cengkaman militan dan usaha pemulihan dilakukan namun hasil yang dilihat tidak memberi banyak perubahan di situ.

Sebuah pasukan khas, Bangon Marawi yang diberi tanggungjawab untuk melaksanakan kerja pemulihan di situ mempunyai tempoh sehingga 2021 dan mereka yakin dapat menyiapkannya.

“Kami akan lakukan sedaya upaya namun tidak boleh mengambil jalan pintas. Pada awalnya ia mengambil masa agak lama namun dilaksanakan segera sebaik dimulakan,” kata pengurusnya, Felix Castro.

Bagaimanapun, sehingga kini tidak ada sebarang tanda bahawa usaha pemulihan itu sedang dilakukan selain pusat komersial Marawi dilihat hanya terbiar begitu saja.

Ribuan penduduk pula masih tertanya-tanya mengenai nasib mereka selepas ini apabila kebanyakannya hilang pekerjaan dan terpaksa bergantung hidup atas sumbangan bantuan termasuk seorang ibu tiga anak, Noronisah Laba Gundarangin, 40, yang tinggal berempat di rumah kakaknya.

Biarpun keluarganya menerima bantuan sebanyak 73,000 peso (RM5,852) daripada beberapa agensi kerajaan namun ia tidak cukup untuk memulakan perniagaan kecil-kecilan apabila wang itu digunakan untuk membayar hutang dan menyara anak-anak.

Pada masa sama, Noronisah tertanya-tanya ke mana perginya semua wang bantuan yang disalurkan oleh komuniti antarabangsa konflik itu masih berterusan.

“Saya tahu terdapat berbilion peso didermakan untuk penduduk Marawi, tetapi ia melalui pelbagai birokrasi dan apabila bantuan itu sampai kepada kami, ia tidak seperti yang diharapkan,” katanya.

Sementara itu, komander pasukan khas, Eduardo del Rosario berkata, pihaknya akan membersihkan semua sisa runtuhan pada November ini namun pembinaan akan dimulakan pada September.

Katanya, menunggu kerja itu dilakukan, mereka sudah membenarkan penduduk kembali ke Marawi untuk melihat kawasan yang pernah menjadi tempat tinggal mereka sebelum musnah.

Disiarkan pada: June 4, 2019 @ 10:08am
d