ekstra

Nikmati cahaya sepanjang tahun

Oleh Agensi

RJUKAN di Norway hanya menerima cahaya matahari selama enam bulan setiap tahun iaitu ketika musim panas dan sejak ratusan tahun lalu, kehidupan seharian enam bulan lagi ditempuh dengan malam yang panjang.

Kini, sains dan teknologi membantu penduduk bandar kecil itu menikmati cahaya matahari sepanjang tahun dengan terbinanya cermin di kawasan pergunungan untuk memancarkan cahaya matahari ke bandar itu.

Rjukan yang terletak di lembah dalam wilayah Telemark dikelilingi pergunungan termasuk gunung Gaustatoppen setinggi 1,883 meter, dibina syarikat Norsk Hydro sebagai tempat tinggal pekerjanya dan syarikat berkenaan masih beroperasi hingga kini.

Pada 1913, pengasas Rjukan, Sam Eyde, pernah mengeluarkan idea untuk membina cermin berkenaan namun ia tidak direalisasikan.

Bagaimanapun pada 2013, lebih 90 tahun kemudian, seorang penduduk, Martin Andersen menghidupkan kembali idea itu dan melancarkan projek pembinaan cermin berkenaan.

Pada awalnya, ramai tidak bersetuju dengan cadangan Andersen kerana berpendapat wang AS$750,000 (RM3.14 juta) untuk memasang cermin berkenaan boleh digunakan untuk projek lain.

Rjukan bukan bandar pertama menerima cahaya matahari melalui cermin namun projek di bandar itu paling canggih.

Tiga cermin dengan setiap satu seluas 17 meter persegi dikawal komputer yang mengesan pergerakan matahari bagi memastikan cahaya dipancarkan ke bandar secara konsisten.

Kejayaan projek itu memberi nafas baharu kepada bandar berkenaan dan pihak majlis perbandaran mengumumkan menaik taraf cermin itu dengan bajet lebih AS$2 juta (RM8.37 juta).

Ketua projek berkenaan, Oystein Haugan berkata, projek itu berjalan lancar dan ia turut menjadi daya tarikan pelancong ke bandar itu.

“Pada musim panas ada pelancong yang datang ke sini semata-mata untuk menikmati cahaya matahari yang dipancarkan cermin ini,” katanya.

Rjukan juga menerima berita menggembirakan pada 2015 selepas diisytiharkan sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO.

Disiarkan pada: June 18, 2019 @ 9:51am
d