ekstra

Serangan terbesar angkatan laut

Oleh Agensi

PENDARATAN Normandy pada Selasa, 6 Jun 1944 oleh Tentera Bersekutu ketika Perang Dunia Kedua melalui Operasi Neptune atau lebih dikenali sebagai D-Day, adalah operasi terbesar angkatan laut dalam sejarah dunia berdasarkan jumlah kapal digunakan, peralatan dan bekalan bagi membebaskan Perancis serta Eropah Barta daripada Nazi.

Tahun ini adalah ulang tahun ke-75 D-Day, operasi yang perancangannya bermula pada 1943. Adolf Hitler meletakkan Marshal Erwin Rommel sebagai pemerintah tenteranya untuk mengukuhkan Tembok Atlantik sebagai persediaan serangan Pihak Bersekutu.

Serangan udara dan bedilan daripada kapal perang di laut menghentam kawasan di belakang pantai dan sejurus selepas tengah malam iaitu awal pagi 6 Jun, 24,000 tentera Amerika Syarikat (AS), British dan Kanada memulakan operasi mendarat.

Divisyen infantri dan berperisai Tentera Bersekutu mula mendarat di pantai Perancis pada 6.30 pagi waktu tempatan. Sasarannya ialah menawan kawasan sejauh 80 kilometer sepanjang pantai Normandy yang dibahagikan kepada lima sektor iaitu Utah, Omaha, Gold, Juno dan Sword.

Dianggarkan sehingga 9,000 tentera Jerman terbunuh ketika D-Day. Sekurang-kurangnya 10,000 anggota bersekutu cedera dengan 4,414 maut.

Pada hari pertama operasi, seramai 156,177 tentera mendarat di pantai, sebahagian besarnya tentera AS, British dan Kanada. Mereka digabungkan dalam lima infantri dan tiga pasukan udara.

Kira-kira 133,000 tentera mendarat melalui laut manakala 23,000 lagi mendarat dari udara dengan 13,000 anggota payung terjun AS daripada Divisyen Udara ke 101 dan 82 turun di belakang Pantai Utah.

Seramai 10,000 tentera British daripada Divisyen Udara ke-6 mendarat antara sungai Orne dan sungai Dives.

Operasi berkenaan mengakibatkan 10,470 tentera kedua-dua pihak terbunuh, cedera atau disenaraikan hilang.

Pada 6 Jun, seramai 11,500 pesawat termasuk 3, 500 membawa anggota payung terjun, 5,000 pesawat pejuang dan 3,000 pesawat pengebom terbang melintasi pantai Normandy.

Sebanyak 11,912 tan bom digugurkan terhadap pertahanan Jerman. Tentera Bersekutu kehilangan 127 pesawat dengan 63 daripadanya rosak.

Operasi Neptune membabitkan 6,939 kapal, jumlah terbesar pernah direkodkan. Pasukan pendaratan membabitkan 4,126 bot dan kapal pendaratan membawa tentera serta kenderaan, termasuk kereta kebal dan berperisai.

Keseluruhannya, kira-kira 20,000 kenderaan dan 1,000 kereta kebal didaratkan dalam operasi itu.

Tentera Bersekutu menggunakan tujuh kapal perang dengan empat milik British dan tiga milik AS selain 20 kapal penjelajah, 221 kapal pembinasa, friget dan korvet, 495 bot tempur, 58 kapal antikapal selam, 287 kapal pencari pemusnah api, empat kapal pemasang periuk api dan dua kapal selam.

Jerman mempunyai tidak sampai 150,000 tentera dengan 50,000 ditempatkan di kawasan pendaratan Tentera Bersekutu. Ia hanya menempatkan satu divisyen berperisai dan enam divisyen infantri berdekatan pantai.

Dua lagi Divisyen berperisai, Divisyen Panzer ke-12 dan Divisyen Panzer-Lehr berada di Evreux dan Alencon-Le Mans.

Unit berperisai lain, Divisyen Pertama SS Panzer, Divisyen Kedua dan Ke-16 berada di utara Sungai Seine, Mons, Peronne dan Senlis.

Jerman mengerahkan lebih 500 pesawat, termasuk pengebom selain 30 bot tempur, empat kapal pemusnah, sembilan kapal torpedo dan 35 kapal selam.

Disiarkan pada: June 18, 2019 @ 11:34am
d