ekstra

Khazanah dasar laut Nanhai I

Oleh Agensi

BEIJING: Dua kalung emas yang masih kekal terpelihara ditemui dalam kapal karam berusia 800 tahun dipamerkan di sebuah muzium di Guangdong, China bersama artifak lain daripada Dinasti Song pada pameran The Route of the Sea: Nanhai I shipwreck and Maritime Trade di Southern Song Dynasty.

Kapal Nanhai I ditemui pertama kali oleh ekspedisi menyelam bersama China-British pada 1987 dan selepas dua dekad kapal itu berjaya dibawa dengan selamat ke permukaan untuk dikaji.

Ia adalah kapal dagang terbesar dan tertua di China sejak zaman Dinasti Song dari 960 hingga 1279M, lapor Daily Mail.

Kapal karam Nanhai I jika diterjemahkan bermaksud ‘Laut China Selatan 1’ ditemui pasukan menyelam di Laut China Selatan di luar pantai Pulau Shangchuan, wilayah Guangdong pada Ogos 1987.

Pengarah Institut Arkeologi Bawah Laut China, Jiang Bo berkata, kapal itu berkemungkinan karam kerana terlebih muatan atau disebabkan ribut.

Kapal kuno berkenaan adalah kapal dagang yang beroperasi dengan kapasiti lambung besar, berukuran 22 meter panjang dan 9 meter lebar, direka dengan piawaian keselamatan tinggi selain keupayaannya menahan gelombang dan beban muatan.

Walaupun terdampar selama lapan abad di dasar laut dengan kedalaman 23 meter, rangka kapal Nanhai I masih kekal utuh untuk menyimpan puluhan ribu peninggalan kuno di dalamnya.

Ketika cuba mengalihkan Nanhai I dari dasar laut, pasukan berkenaan secara tidak sengaja menghancurkan bahagian belakangnya.

Selepas sembilan bulan persiapan, keseluruhan kapal kargo itu berjaya dipindahkan dari dasar laut pada 21 Disember 2007 ke Muzium Laluan Sutera Maritim Guangdong yang dibina khas di Pulau Hailing, Guangdong.

Ia ditempatkan dalam akuarium raksasa dan persekitarannya ditetapkan mengikut suhu air dasar laut tempat ia ditemui.

Operasi pemuliharaan dijalankan oleh Pentadbiran Warisan Budaya Negeri China dan Jabatan Pengangkutan, membabitkan kos sekitar AS$20 juta (RM82.6 juta).

Pelawat bukan saja dapat melihat Nanhai I dan kandungannya malah berpeluang menyaksikan kerja pemuliharaan yang dilakukan dalam kaca kristal muzium.

Dianggarkan kapal itu mengandungi 100 tan peralatan besi dan barangan lain seperti paku, periuk, kuali serta 13,000 keping porselin dari Fujian, Jiangxi dan Zhejiang.

Sebahagian barangan itu dibungkus dan dilabelkan dengan nama kedai yang menjualnya termasuk tempat asal.

Penemuan itu membantu ahli arkeologi memahami kepentingan ekonomi pada era Dinasti Song.

Setakat ini lebih 17,000 syiling tembaga bersama barangan peribadi seperti gelang, cincin dan tali pinggang gaya Timur Tengah, sekali gus mencetuskan andaian kapal itu membawa sejumlah penumpang.

Pakar arkeologi turut menemui tulang tiga individu dalam kapal berkenaan.

“Apa yang kami temui adalah di luar jangkaan,” kata Bo.

Nanhai I belayar ketika China mencapai kejayaan dalam aktiviti perdagangan di laut, merentasi beberapa negara di Asia Tenggara, India dan dunia Arab dengan membawa muatan porselin, sutera dan teh.

Selain rantai, pameran berkenaan memaparkan lebih 400 artifak daripada kapal karam serta barangan lain Dinasti Song Selatan termasuk seramik, tablet bertulis, logam, batu permata, barang kemas perak dan spesimen haiwan dan tumbuhan.

Pameran berkenaan berlangsung sehingga 25 Ogos depan.

Disiarkan pada: July 2, 2019 @ 10:37am
d