ekstra

Gusti minyak zaitun

Oleh Agensi

Pada setiap tahun lebih seribu lelaki termasuk kanak-kanak berkumpul di sebuah padang di Sarayici, di wilayah Edirne, Turki untuk menyertai pertandingan gusti minyak yang dianggap antara kejohanan sukan tertua di dunia itu.

Pada tahun ini seramai 2,380 peserta dari seluruh Turki menyertai festival gusti minyak Kirkpinar yang diadakan setiap tahun sejak 1362 dan sebanyak tiga tan minyak zaitun bakal dilumur di badan mereka.

Peserta kemudiannya menjatuh dan membanting lawan di padang berkenaan bagi memilih juara yang bakal memakai tali pinggang kejuaraan emas selama setahun.

Beribu-ribu penonton datang untuk menyaksikan festival berkenaan yang turut disiarkan di televisyen tempatan.

Pertandingan itu dipercayai dimulakan oleh askar Turki yang bergusti dengan badan dilumur minyak bagi menunjukkan keberanian mereka dan menarik perhatian wanita.

Minyak dipercayai digunakan bagi melindungi kulit mereka daripada panas matahari tetapi ada yang mendakwa ia untuk menghalang lalat hinggap di badan peserta ketika bergusti.

Seorang peserta berpengalaman, Ali Gokcen, 40, berkata, dia menyertai festival itu setiap tahun dan ramai lelaki menyertainya kerana mahu menunjukkan kegagahan mereka.

“Perlawanan ini dimulakan dengan bacaan doa, nyanyian lagu kebangsaan, memperingati ahli gusti terkenal dan menghormati warisan budaya kami,” katanya.

Pada tahun ini, peserta dari wilayah Antalya, Ali Gurbuz muncul juara apabila berjaya menewaskan pemenang tahun lalu, Orhan Okulu dan diisytiharkan sebagai Baspehlivan atau ketua ahli gusti.

Ali memenangi pertandingan gusti itu buat kali ketiga manakala Orhan pernah muncul juara pada 2015 dan 2018.

Disiarkan pada: July 16, 2019 @ 10:06am
d