ekstra

Ragbi berkaki ayam

Oleh AP

SAMBIL berjalan mengelak sampah sarap dan najis lembu, satu-satunya pasukan ragbi kanak-kanak Myanmar kelihatan gigih melakukan latihan di pinggir bandar Yangon dengan semangat untuk menewaskan kanak-kanak golongan berada dari sekolah antarabangsa.

Sebuah padang serba guna yang kadangkala turut digunakan untuk aktiviti sabung ayam dan lokasi acara tertentu, menjadi tempat pasukan Little Dragons menjalani latihan sambil berkaki ayam.

Selain itu, kanak-kanak lelaki dan perempuan berusia antara lima hingga 18 tahun dari pekan Dagon Utara turun bermain ragbi di situ untuk meluangkan masa pada setiap Ahad.

Ketika musim monsun, padang latihan bertukar menjadi lumpur namun musim panas pula ia menjadi kering. Bagaimanapun, pasukan Little Dragons sedikit pun tidak kisah malah tetap berkaki ayam untuk berlatih.

Mereka mempunyai beberapa jurulatih yang terdiri daripada rakyat tempatan dan asing.

Seorang daripadanya, Aung Kyaw Lin, 24, menubuhkan pasukan itu empat tahun lalu sambil mengajar subjek Bahasa Inggeris dan Matematik selain bengkel keselamatan serta kesihatan.

“Sebelum ini mereka sering menghabiskan masa di kedai permainan video. Apabila kanak-kanak ini mula bermain ragbi, mereka kelihatan kurang bertelagah dan bekerjasama,” katanya.

Walaupun penganjur kehabisan dana untuk meneruskan pusat pendidikan mereka, pasukan ragbi itu diteruskan.

Biarpun masih kurang wanita menyertai bidang sukan di Myanmar, hampir separuh daripada pasukan Little Dragons terdiri daripada perempuan.

Seorang pemain, Nann Shar Larr berkata, dia pernah dimarahi kakaknya kerana bersukan dengan lelaki namun kini hampir seluruh ahli keluarganya datang melihat sesi latihan mereka.

“Lelaki dan perempuan tiada beza apabila mereka bermain ragbi bersama-sama” katanya yang berusia 15 tahun.

Little Dragons kini bersiap sedia untuk menempuh perlawanan membabitkan beberapa sekolah antarabangsa.

Mei lalu, mereka mengambil bahagian dalam perlawanan pertama yang kebanyakannya bermain di padang tiruan di sebuah sekolah berkenaan.

Daripada keseluruhan 10 pasukan yang bertanding, mereka menewaskan pesaing dengan kedudukan tempat kedua dan ketiga bagi kategori bawah 14 tahun dan bawah 11 tahun.

“Mereka bermain dengan baik,” kata jurulatih Bradley Edwards.

Edwards melihat sukan ragbi itu mempunyai nilai perpaduan.

“Banyak perkara yang memisahkan masyarakat di Myanmar ketika ini dan salah satu kunci dalam sukan ragbi adalah sikap menghormati.

“Mereka ini sudah bersedia untuk berentap dan beraksi sepenuhnya,” katanya.

Disiarkan pada: July 23, 2019 @ 10:03am
d