ekstra

Grafiti gamit anak muda

Oleh AFP

SEBUAH perkampungan di kaki bukit di tengah Taiwan ini semakin sunyi selepas sebilangan besar golongan muda berhijrah ke bandar untuk mencari pekerjaan.

Bagaimanapun, seorang pelukis, Wu Tsun-hsien berjaya membawa golongan muda kembali semula ke kampung itu dengan menjadikan dinding rumah dan bangunan di penempatan berkenaan sebagai kanvas lukisan.

Golongan muda berkunjung ke kampung Ruan Chiao semata-mata untuk bergambar dengan lukisan mural, hasil seni Tsun-hsien sebelum memuat naik gambar itu di laman sosial seperti Instagram.

Tsun-hsien, 55, kini menyiapkan hasil seni terbaharunya, satu pemandangan kampung dengan petani yang sedang bekerja dan dikelilingi haiwan peliharaan.

Selain menggambarkan kehidupan penduduk di kampung, Tsun-hsien menghasilkan lukisan mural yang memaparkan masalah sosial dihadapi penduduk di Taiwan.

“Kebanyakan penghuni kampung ini orang tua,” kata Tsun-hsien.

Katanya, sebahagian besar golongan muda termasuk anaknya sendiri berpindah ke bandar meninggalkan penduduk tua yang kesunyian.

Namun, lukisannya mula menarik pelawat terutama golongan muda kembali ke kampung itu semata-mata untuk merakamkan gambar.

“Lukisan saya menarik ramai pengunjung melawat ke sini. Orang tua yang tinggal di sini tidak lagi kebosanan. Ini adalah satu kejayaan saya,” jelasnya.

Kini terdapat kira-kira enam lagi kampung yang mengikut jejak langkah Tsun-hsien yang dikenali sebagai ‘kampung grafiti’ dalam usaha menarik pelawat daripada golongan muda.

Tsun-hsien tinggal di kampung itu bersama isterinya, Fan Ai-hsiu dan ibu bapanya yang berusia 81 dan 72 tahun.

Fan berkata, usaha mereka untuk menarik orang muda datang ke kampung itu bukanlah berkaitan ekonomi penduduk semata-mata tetapi untuk menggembirakan golongan tua seperti ibu bapanya.

“Ibu bapa saya mahu bercakap dan berbual dengan orang ramai, itu yang mereka rindukan, ia bukan atas sebab wang,” jelasnya.

Katanya, pada mulanya sukar untuk memujuk penduduk di kampung itu bagi membenarkan rumah mereka dilukis.

“Penduduk di sini kebanyakannya konservatif tetapi apabila melihat lukisan ini siap mereka mula menyukainya kerana ramai pelawat datang ke kampung ini,” katanya.

Seorang pelawat, Evelyn Sun berkata, dia mendapat tahu mengenai kampung itu menerusi media sosial sebelum datang melawat bersama beberapa rakannya.

Evelyn, 25, dan rakannya juga dijemput duduk semeja bersama keluarga Tsun-hsien dan dijamu dengan makanan tradisi penduduk di kampung itu.

“Taiwan mempunyai banyak ‘kampung grafiti’ yang mempunyai pemandangan yang menarik tetapi pengunjung akan pergi selepas merakam gambar.

“Tetapi apabila saya datang ke kampung ini, setiap lukisan mural memaparkan masalah sosial yang dihadapi masyarakat.

“Ini budaya kita, mereka (golongan tua) adalah sebahagian daripada sejarah. Kita mesti selalu melawat dan mengenali mereka,” katanya.

Disiarkan pada: July 30, 2019 @ 8:31am
d