ekstra

Etnik minoriti dilayan kejam

Oleh Reuters

SEORANG wanita etnik Kazakhstan yang melarikan diri dari China tahun lalu mahu mendedahkan kepada dunia mengenai penyeksaan yang berlaku di depan matanya ketika bekerja di pusat latihan vokasional untuk etnik minoriti di negara itu.

Sairagul Sauytbai, 42, menjadi pengetua tadika di wilayah autonomi Kazakhstan, Xinjiang sebelum dia direkrut secara paksa pada November 2017 untuk mengajar bahasa Cina dan budaya serta doktrin Parti Komunis kepada tahanan di kem.

Suami dan dua anaknya sudah berpindah ke Kazakhstan namun pasportnya dirampas bagi menghalang dia bersama keluarganya.

Sebaik tiba di kem, dia terkejut dengan layanan yang diterima tahanan apabila mereka diseksa dan dibelasah dengan teruk.

“Saya mengenali kebanyakan daripada mereka. Tahanan ini terdiri daripada pelbagai latar belakang seperti golongan penulis dan aktivis. Mereka tidak melakukan jenayah,” katanya.

Menurut kumpulan hak asasi manusia, China menahan sejuta orang di kem yang dibina di seluruh Xinjiang iaitu wilayah yang diduduki penduduk Islam daripada etnik Uighur.

Bekas tahanan menyifatkan kem itu seperti penjara dan seseorang boleh ditahan selama berbulan-bulan dan didoktrin dengan ideologi komunis.

Sauytbai dihantar pulang oleh pihak berkuasa empat bulan selepas itu sebelum dipecat daripada pekerjaan asalnya.

Disebabkan bimbang dihantar ke kem sebagai tahanan, dia cuba menyusup masuk ke Kazakhstan secara haram melalui Khorgos iaitu zon perdagangan bebas cukai di sempadan.

Bagaimanapun, dia dituduh melintas sempadan secara haram, dibogelkan dan diarahkan ‘menutup mulut.’

Dia kemudian ditahan di sana dan dibicarakan namun mahkamah memerintahkan wanita itu dihantar semula ke China dan menjatuhkan hukuman penjara tertangguh.

Sauytbai memohon perlindungan suaka daripada suruhanjaya negeri namun ditolak dengan alasan ia tidak menemui bukti cukup berlakunya penindasan.

Bulan lalu, dia dan keluarganya berhijrah ke Sweden dan sudah memohon status penduduk tetap.

“Selepas tiba di Kazakhstan dan menyaksikan semua itu, saya ingin menceritakan kepada dunia mengenainya.

“Namun Jawatankuasa Keselamatan Kebangsaan dan bekas peguam, Abzal Kuspan cuba menutup mulut saya,” katanya.

Kuspan yang mengesahkan perkara itu berkata, dia menasihatkan Sauytbai tidak mendedahkan mengenai kem di China bagi mengelakkan ia memberi kesan terhadap kes mahkamah dan permohonan perlindungan suaka.

“Fokus utama kami adalah memastikan dia tidak diserahkan semula kepada China,” katanya.

Disiarkan pada: July 30, 2019 @ 8:56am
d