ekstra

Rumah Harapan 'sekolah jenayah'

Oleh AFP

KESALAHANNYA cuma melanggar perintah berkurung selepas melarikan diri daripada penderaan di rumahnya. Namun Jerry, 11, dihantar ke pusat penahanan juvana dan di situ keadaannya lebih seksa malah turut didera secara seksual.

Jerry berkata, dia hidup gelandangan selepas lari dari rumah kerana tidak tahan dipukul bapanya manakala ibu bekerja di Kuwait.

“Saya rasa begitu kotor selepas kali pertama ia berlaku. Saya tidak dapat melupakannya,” kata Jerry kepada AFP.

Menurutnya, dia diheret dari katilnya ketika tidur ke bilik air dan diserang secara seksual oleh kumpulan budak lelaki lebih berusia ketika ditahan di sebuah pusat penahanan di Manila.

Secara rasmi, lokasi seperti itu digelar ‘Rumah Harapan,’ yang bertujuan memberikan pendidikan dan mengubah kehidupan mereka, namun pengkritik rata-rata mengutuk kemudahan ini sebagai ‘sarang neraka’ yang melayan kanak-kanak tidak ubah seperti haiwan dalam kurungan.

Menurut kumpulan hak asasi, kanak-kanak seperti Jerry tidak sepatutnya ditahan, namun rang undang-undang bakal diperkenalkan untuk menurunkan usia kebertanggungjawaban jenayah daripada 15 kepada 12, seterusnya bererti ribuan lagi kanak-kanak akan dihantar ke pusat penahanan seumpama itu.

Ini lebih mendedahkan golongan itu kepada penderaan.

Mengikut undang-undang sedia ada, Rumah Harapan lazimnya menjadi tempat tahanan remaja berusia 15 hingga 18 tahun. Bagaimanapun, kanak-kanak lebih muda seperti Jerry kadangkala turut terjebak dihantar ke situ walaupun kerana kesalahan kecil, seterusnya menyebabkan mereka mengalami trauma dan kesan psikologi mendalam yang sukar dilupakan.

Jagawan memberi amaran, perancangan menjadikan kanak-kanak sekecil 12 tahun sebagai penjenayah seterusnya menahan mereka bersama remaja lebih berusia, malah pesalah dewasa, mendatangkan risiko kepada golongan itu.

Melanie Ramos-Llana dari Child Rights Network Philippines berkata: “Ini mewujudkan potensi lebih tinggi untuk penderaan kerana kerajaan masih belum cukup bersedia menanganinya.

“Lebih ramai kanak-kanak ‘disumbat’ ke dalam Rumah Harapan yang tidak mempunyai kemudahan lengkap, mahupun kakitangan dan program sewajarnya. Ini akan mewujudkan lebih banyak masalah.

“Penjara atau pusat penahanan bukan tempat sesuai untuk kanak-kanak,” katanya.

Perkara itu turut dipersetujui pejuang hak kanak-kanak, Louise Suamen yang memberi amaran membiarkan kanak-kanak yang hanya melakukan kesalahan ringan bercampur pesalah lebih berusia akan mewujudkan ‘sekolah jenayah.’

Empat lagi bekas penghuni Rumah Harapan turut menceritakan kepada AFP penderaan dialami di pusat penahanan seperti itu.

Justin berkata, dia ditahan di sebuah pusat penahanan di ibu negara pada usia 17 tahun, dua tahun lalu dan dibelasah budak lain kerana kononnya melanggar peraturan.

Dia mengakui pengalaman di situ menyebabkannya lebih keras hati dan tidak lagi berperasaan kerana dengan cara itu saja mampu bertahan setiap kali dipukul senior.

Seorang lagi remaja, Tristan, 15, berkata, dia pada mulanya lega apabila dihantar ke Rumah Harapan di Manila selepas ditahan di penjara dewasa atas tuduhan dadah palsu.

“Saya sangka ia lebih baik. Namun ia sekadar penjara kanak-kanak,” katanya.

Disiarkan pada: July 30, 2019 @ 9:05am
d