ekstra

Satu malam di Al-Aqsa

Oleh Agensi

MASJID Al-Aqsa mempunyai sejarah panjang untuk disingkap dan hubungannya cukup istimewa dengan umat Islam yang turut dianggap suci oleh Yahudi dan Kristian.

Dibina pada abad ketujuh, ia menjadi masjid ketiga paling suci bagi umat Islam dan kiblat pertama sebelum arahnya ditukarkan ke arah Kaabah, lapor portal Middle East Eye.

Setiap tahun juga menyaksikan ruang masjid akan dibanjiri ratusan ribu rakyat Palestin untuk menyertai solat Tarawih serta beribadat mengejar malam lailatulqadar yang memiliki keagungan tersendiri kerana al-Quran diturunkan pada malam berkenaan.

Malam istimewa itu turut dirakam menerusi lensa kamera seorang pengarah, Abrar Hussain yang ingin membawa penonton mendalami keadaan sebenar di Al-Aqsa menerusi dokumentari bertajuk One Night in Al-Aqsa (Satu malamdi Al-Aqsa).

Program yang disiarkan menerusi tayangan perdana di London pada 2 Ogos lalu itu turut memaparkan kisah hidup mereka yang tinggal dan bekerja di masjid berkenaan.

Menurut Abrar, dia tertarik untuk menghasilkan dokumentari mengenai Al-Aqsa kerana ia terpinggir begitu lama.

“Kecintaan terhadap Al-Aqsa bukan hanya untuk komuniti Islam. Kami ingin menghasilkan sesuatu yang menyeluruh sebagai tanda penghargaan terhadap Al-Aqsa. Apabila peluang seperti ini tiba, saya melakukannya disebabkan ia semakin terancam.

“Ia bukan hanya mengenai tempat ini tetapi juga penduduk, pekerja serta penganut yang hidup dalam keadaan sukar di bawah penguasaan Israel.

“Kami sengaja memilih untuk merakam suasana pada malam lailatulqadar dan cuba menjadikan rakaman ini sebagai pengalaman paling mendalam,” katanya.

Disiarkan pada: August 20, 2019 @ 9:20am
d