ekstra

Gaji RM41.90 sebulan!

Oleh Agensi

EDGAR Fernandez, 40, menyimpan kostum mariachi di dalam almari di hospital awam di Caracas, Venezuela, tempat dia bekerja sebagai jururawat untuk dipakai ketika membuat pertunjukan menyanyi di bar, rumah dan adakalanya diupah bekas pesakit bagi menambah pendapatannya.

Memandangkan dia cuma memperoleh pendapatan AS$10 (RM41.90) sebulan sebagai jururawat, wang hasil pertunjukan itu hanya untuk digunakan ketika krisis.

Bukan sahaja Fernandez malah jururawat lain di Venezuela terpaksa membuat dua pekerjaan sama ada sebagai usahawan dari rumah, pengawal keselamatan atau kontraktor untuk menampung pendapatan mereka.

Menjadi jururawat di Venezuela adalah pekerjaan yang hampir mustahil dilakukan sebaiknya hari ini malah ramai meninggalkan profesion itu kerana wujud pelbagai masalah seperti kekurangan kakitangan dan bekalan perubatan serta bekalan elektrik terputus.

“Gaji jururawat tidak berbaloi,” kata Fernandez sambil mengakui wang yang diperolehnya dengan bekerja selama 12 jam tidak membolehkan dia membeli apa-apa.

Apabila pertunjukannya bertembung waktu kerja, dia terpaksa membayar rakannya untuk menggantikannya, sekali gus bermakna pendapatannya itu menyusut.

“Kadang-kadang mereka bayar saya dengan makanan seperti tepung atau kekacang. Saya menerimanya daripada pulang tangan kosong,” katanya.

Dia bekerja di hospital Perez Carreno dan tidur di atas tilam kotor kerana tidak mampu menyewa rumah.

Francis Guillen, 30, membuat gel rambut yang dijualnya di pasar Catia untuk menampung perbelanjaan keluarganya.

“Jika saya tidak mempunyai pekerjaan lain, saya tidak tahu apa yang akan berlaku kepada saya,” katanya yang menjual gel rambut seharian menyamai gaji bulanannya.

Kadangkala bapanya yang juga jururawat membantunya mencampurkan bahan kimia itu di dalam baldi.

Suaminya pula sudah berhenti kerja sebagai anggota bomba dan turut membantu perniagaannya itu.

Guillen berhasrat berhenti daripada jawatan awam itu, tetapi semangatnya untuk berkhidmat kepada negara menghalangnya daripada menyertai 3.3 juta orang yang dianggarkan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UN) meninggalkan Venezuela sejak awal 2016.

Presiden Kolej Jururawat Caracas, Ana Rosario Contreras berkata, sejak Jun 2018, seramai 15,000 ahli atau kira-kira 40 peratus jururawat berhenti kerja dan berhijrah.

Pada waktu siang, Carlos Ruiz, 42, bekerja sebagai pengawal keselamatan untuk sebuah syarikat metalurgi dan turut melakukan pekerjaan lain.

Sebanyak mana dia menyimpan, dia tidak mampu membeli seragam baru dalam tempoh empat tahun lalu kerana memerlukan 10 bulan gaji untuk sehelai seragam.

Dia turut berperanan menangani isu kekurangan bekalan hospital sehinggakan 80 peratus bergantung kepada sektor tertentu.

Bekalan elektrik pula berulang kali terputus memburukkan lagi sektor perubatan awam. Kebanyakan hospital tidak mempunyai penjana berfungsi elok dan akibatnya pesakit berpotensi untuk mati.

Di sesetengah hospital katanya, seorang jururawat perlu menjaga sehingga empat pesakit, sesuatu yang disifatkan sebagai ‘penganiayaan buruh.’

Camilo Torres menjual pastri dan ais krim di rumahnya di selatan Bolivar dan pergi bekerja di sebuah hospital tempatan dengan berjalan yang mengambil masa dua jam kerana kekurangan pengangkutan awam.

Gambarnya di Facebook membuktikan bahawa perjuangannya itu menyusutkan badannya apabila tiga tahun lalu, beratnya 120 kilogram, tetapi kini hanya 65 kilogram.

“Saya kurus disebabkan kebuluran,” katanya.

Seorang jiran membantu menjahitkan kasut baru kerana sepasang yang baru menyamai tiga kali gajinya. Dia juga tidak mampu membeli stoking dan seragam putihnya sudah kekuningan. Bagi Torres, sabun pencuci satu kemewahan. Tetapi, dia tidak akan berputus asa.

“Pekerjaan saya menyelamatkan nyawa. Sekiranya tidak ada seorang pun di hospital, saya yakin jika hari ini 10 orang akan mati, esok lusa akan bertambah 50 dan saya tidak akan meninggalkan tugas menyelamat itu,” kata bapa kepada tiga anak.

Disiarkan pada: September 10, 2019 @ 8:39am
d