geny

Kumpul peminat FIFA 17

Oleh Hazril Md Nor

Industri FIFA di Malaysia kini dilihat sebagai platform yang menempatkan anak muda dalam satu arena kompetitif dan penuh berdaya saing selain mendedahkan mereka kepada kejohanan e-sukan sebenar.

Komuniti Kickers antara pelopor dalam industri itu dengan usaha menggilap bakat anak muda untuk bersaing dalam arena ini.

Pengasasnya, Khairil Anuar, 32, berkata, ia bermula pada 2010 apabila dia bersama rakannya, Aidil Rizal berminat mewujudkan satu kumpulan yang diterajui peminat Winning Eleven.

“Pada mulanya, kami peminat Winning Eleven ingin mencari lebih ramai orang dengan minat sama. Ketika itu belum ada lagi komuniti yang menyatukan pemain ini. Masing-masing lebih suka bergerak solo.

“Objektif kami ialah memberi ruang kepada semua ahli untuk berkongsi tip dan strategi dalam permainan berkenaan. Ini kerana ia secara tidak langsung membantu pemain baru untuk menyesuaikan diri dalam industri,” katanya.

Bermula pada 2015, Kickers beralih kepada siri FIFA dan seterusnya menggiatkan pembabitan mereka dalam pertandingan yang dianjurkan khususnya untuk permainan berkenaan.

“Peralihan kepada FIFA memberi ruang kepada kami untuk bertanding secara dalam talian. Ini kerana sebelum ini kami banyak menghabiskan masa berjumpa di satu tempat untuk berlatih.

“Pada tahun ini, ahli komuniti mula mencecah lebih 20 orang. Shige (bekas ahli Kickers) misalnya sudah berjaya menempa nama dalam industri dan sering menjuarai beberapa kejohanan ternama,” katanya.

Menurutnya, selain menggalakkan setiap ahli mengambil bahagian dalam pertandingan, mereka juga turut berlatih bersama dan mengadakan aktiviti luar.

“Kami mengadakan sesi perlawanan Pro Club 3 kali seminggu untuk memantapkan lagi strategi dan kelebihan setiap pemain. Ini kerana dalam mod ini setiap ahli perlu mengawal posisi berbeza dan ia mampu bantu mereka mendalami mekanisme permainan itu.

“Selain aktiviti berkaitan dengan ‘game’, hubungan kami ibarat sebuah keluarga kerana sering mengadakan perjumpaan dan bermain futsal bersama. Malah, ada antara kami yang berusia 30-an dan banyak beri nasihat kepada mereka yang lagi muda,” katanya.

Ketika ditanya bagaimana Kickers memilih ahli baru, Khairil berkata, ia dilakukan melalui proses pemilihan daripada Liga ‘online’ diadakan.

“Setiap pemain amatur mempunyai kelebihan tersendiri. Tidak semestinya perlu jadi nombor satu untuk menyerlah. Adakalanya mereka yang lain mempunyai taktik direka sendiri yang membantu untuk lebih konsisten dalam pertandingan. Itu yang lebih dicari,” katanya.

Didorong keinginan untuk menonjolkan bakat ke peringkat lebih tinggi, Khairil mengharapkan badan berkaitan memberikan bantuan sepatutnya bukan saja kepada Kickers tapi juga komuniti FIFA yang lain.

“Di Eropah, pemain profesional FIFA boleh berhenti kerja dan menerima gaji bulanan dengan hanya bermain ‘game’. Tidak mustahil senario serupa boleh berlaku di negara ini jika pihak berkaitan mula membuka mata dengan memberikan sumbangan yang sepatutnya.

“Sebagai contoh, Kejohanan E-Sukan peringkat dunia (ESWC) dan Kejohanan Interaktif FIFA peringkat dunia (FIWC) memerlukan perbelanjaan yang besar untuk ke sana. Jika pemain tempatan menerima tajaan, sekurang-kurangnya mereka boleh memfokuskan kepada permainan saja dan tidak perlu memikirkan cara untuk mendapatkan dana,” katanya.

Ketika ditanya persiapan bagi menghadapi Ramadan tidak lama lagi, Khairil berkata, komuniti Kickers akan menjalankan rutin harian berlainan daripada biasa.

“Jika sebelum ini kami aktif mengambil bahagian pada siang hari, bulan ini diperuntukkan untuk waktu rehat dengan melakukan amalan sunat termasuk solat Tarawih,” katanya.

Disiarkan pada: May 11, 2017 @ 2:49am
d