geny

Jodoh ke tidak?

Oleh Hazril Md Nor

Sudah lama berhubung dengan pasangan, tetapi keliru dengan sikapnya. Mungkin dia ada orang lain ataupun dia masih berpura-pura bersama dengan kita hanya untuk mengambil kesempatan sehinggakan timbul tanda tanya.

Itu persoalan sering melanda remaja masa kini. Sampai ada satu tahap kita mula mempersoalkan adakah dia jodoh ataupun hubungan itu hanya bertahan dalam jangka pendek.

Tanda 1

Pertama, kamu boleh lihat daripada beberapa faktor antaranya persefahaman dan tolak ansur. Selama mana kamu bersamanya, adakah dia seorang yang suka mengikut kepala sendiri? Atau terbuka menerima pendapat?

Biasanya, pasangan yang sudah lama akan dapat melalui segala rintangan kehidupan bersama-sama tanpa mengundang masalah lain membabitkan pihak ketiga. Dalam situasi sukar sekalipun kamu berdua dapat mengendalikan situasi itu dengan baik.

Tanda 2

Adakah si dia suka ‘control macho’ atau ‘cover anggun’ setiap masa dengan kamu? Kalau seminggu boleh dimaafkan tapi bagaimana dengan gerak-gerinya selepas lebih setahun bersama?

Salah satu petanda dia jodoh kamu ialah perasaan tidak takut menjadi diri sendiri. Untuk lelaki, mereka tidak segan menunjukkan sisi lemah kepada pasangan apabila sedang bertarung dengan emosi.

Begitu juga dengan sifat panas baran, pelupa, comot atau ketawa sekuat hati. Jika dia ikhlas, dia tidak akan malu menjadi diri sendiri di depan insan tersayang. Kalau kamu sendiri pun keliru dengan sikapnya, mungkin dia bukan jodoh sesuai untuk kamu.

Tanda 3

Sejam, sehari dan seminggu berhubung dengannya tidak akan berasa bosan. Ada saja topik yang ingin dibualkan. Bersama dengannya tidak akan membuatkan kamu tertekan, malah menjadi lebih selesa dan tenang.

Saat bersama itu digunakan sebaik-baiknya untuk berbual mengenai masa depan, memikirkan fasa seterusnya dalam perhubungan. Itu tandanya si dia mula serius untuk menjadikan kamu pasangan hidup.

Tanda 4

Selalu beri bantuan dan ada di sisi kamu. Itu pengorbanan bakal ‘jodoh’ untuk seseorang. Meskipun perlu berdepan pasang surut dalam perhubungan, si dia tak kisah melalui fasa yang sukar hanya untuk menceriakan hari kamu.

Sekarang, ingat kembali adakah dia orang pertama yang sudi menghulurkan bantuan tatkala kamu dilanda musibah? Dia tahu emosi kamu sedang terganggu? Dia tahu keadaan saat kamu sakit? Jika ya maka dialah orangnya.

Tanda 5

Sudah lama bersama pastinya kamu akan nampak sisi buruk seseorang. Andai kamu comot atau tidak mandi sekalipun, si dia tidak akan gelak, malah menerima kekurangan kamu.

Malah, jika si dia kerap berjumpa dengan keluarga kamu dan mula mengambil hati ibu bapa kamu, itu menunjukkan si dia sudah bersedia. Cumanya, mungkin tinggal melengkapkan resipi perkahwinan seperti mengumpul duit membeli rumah, kereta dan sebagainya.

Disiarkan pada: May 13, 2017 @ 3:17am
d