geny

Seni dandan anak patung

Oleh Redzuan Muharam

Seni menyolek anak patung mungkin kedengaran asing namun itu kemahiran dimiliki jurutera, Syamira Laila Nordin, 27, sejak 2010.

Syamira berkata, kemahiran itu dipelajarinya sendiri kerana minat dan lebih menarik apabila dia turut mahir menjahit pakaian anak patung.

Anak kelahiran Kuala Lumpur ini berkata, pada mulanya, minat itu sekadar untuk mengisi masa lapang namun permintaan daripada pengumpul anak patung mendorongnya menawarkan khidmat solekan dan jahitan.

“Saya memang ada kemahiran asas tetapi bukan menyolek dan menjahit pakaian anak patung.

“Namun, disebabkan minat, saya belajar sendiri teknik solekan dan jahitan yang hanya dilakukan untuk suka-suka saja pada mulanya.

“Jujurnya, memang agak sukar kerana fizikal dan saiz patung berbeza dengan manusia. Sebab itu saya perlu fokus dan teliti bagi mendapat hasil memuaskan,” katanya.

Berkongsi lanjut, Syamira berkata, meskipun nampak menyeronokkan, tidak ramai tahu hobinya itu memerlukan kos yang tinggi.

Katanya, ia kerana semua patung berkenaan dibeli secara dalam talian dan bukan di kedai permainan.

“Patung berkenaan tidak boleh didapati di kedai biasa dan sebab itu saya membelinya secara dalam talian.

“Kosnya bukan murah dan bayangkan saya perlu membelanjakan sekurang-kurangnya AS$100 (RM435) bagi membeli seunit patung berkenaan.

“Jika diikutkan, jumlah itu agak mahal namun ia berbaloi bagi saya dan mereka yang benar-benar berminat,” katanya yang menyimpan semua koleksi patung berkenaan di dalam rak khas.

Syamira berkata, setakat ini keluarga faham dan tidak menghalang minatnya itu .

Bagaimanapun, dia yang perlu membahagikan masa sebaik-baiknya supaya tidak mengganggu urusan harian.

“Hobi ini hanya sampingan kerana fokus saya tetap pada kerja cuma bila ada kelapangan, saya akan gunakannya untuk menyolek dan menjahit pakaian tempahan pelanggan.

“Bagi saya, hobi ini amat menyeronokkan kerana bukan semua orang mempunyai kemahiran dan kesabaran melakukannya.

“Malah, ia sebenarnya lebih daripada sekadar hobi dan cabang seni kerana tidak ramai tahu kami mempunyai komuniti dan sering berkongsi idea setiap kali bertemu,” katanya.

Disiarkan pada: May 17, 2017 @ 3:48am
d