geny

ARTO promosi seni

Oleh Nor Hanisah Kamaruzaman

Penulis tertarik dengan usaha dan inisiatif kumpulan anak muda ini dengan hala tuju untuk mendekatkan masyarakat dengan dunia seni.

Pergerakan diberi nama ARTO Movement (ARTO) itu diketuai Muhammad Amir Amin Mohd Idris, 26, atau lebih dikenali dengan nama Tuk Kura.

Menurut Muhammad Amir, ARTO ingin mengubah persepsi orang ramai bahawa seni bukanlah untuk golongan elit saja.

“Pada awalnya kami bergerak sebagai satu kumpulan untuk membawa diri kami bergerak lebih ke hadapan dalam bidang ini, namun selepas mencapai matlamat itu kami mula fikirkan seni untuk masyarakat.

“Masyarakat mempunyai stigma mengenai seni dan kebanyakannya menganggap seni untuk golongan elit. Jadi hala tuju dan matlamat kami kini untuk menarik masyarakat supaya lebih memahami dan mendekati seni,” katanya.

Katanya, pelbagai usaha dijalankan bagi menarik minat orang ramai antaranya dengan memuat naik perkongsian melalui media sosial.

“Kami bergiat aktif di media sosial seperti Instagram dan Twitter dengan berkongsi maklumat mengenai pameran seni semasa.

“Selain itu, kami juga kerap menyertai ceramah seni dan berkongsi ilmu serta pengetahuan yang kami dapat menerusi Twitter,” katanya.

Selain itu, Projek Zine Seni juga menjadi antara inisiatif ARTO untuk meningkatkan kesedaran dan mendekatkan seni dengan masyarakat.

“Kami hasilkan zine (bahan bacaan yang diterbitkan sendiri penulis dalam kuantiti kecil sama ada menggunakan mesin cetak atau buatan tangan) seni mampu milik dan dijual kepada orang ramai supaya ilmu seni ini mudah didapati.

“Usaha ini bermula pada KL Zine Fest 2014 dan zine pertama dikeluarkan. Memandangkan ia diterima baik, kami dalam usaha untuk menghasilkan zine edisi ketiga,” katanya.

Menurut Muhammad Amir, kumpulan itu turut ke universiti dan sekolah untuk memperkenalkan bidang seni kepada generasi muda.

Ahli ARTO, Megat Zharif Megat Nawawi, 26, antara yang giat menyebarkan ilmu dan berkongsi pengalaman dengan pelajar sekolah.

Menurut Zharif, dia sering berkolaborasi dengan pihak sekolah untuk membuat mural selain mendidik pelajar untuk memahami bidang seni dengan lebih jelas.

“Saya kongsi pengalaman dengan mereka sewaktu belajar di universiti selain turut menceritakan peluang serta skop pekerjaan dalam bidang seni sebagai pembakar semangat.

“Sesetengah orang fikir bidang seni tiada masa depan, jadi saya ingin ubah persepsi pelajar terutamanya yang belajar di kelas aliran seni supaya buka mata kerana banyak peluang yang mereka boleh terokai,” katanya.

ARTO Movement ditubuhkan secara rasmi pada 2010 dengan 36 ahli dan semua ahli adalah bekas penuntut Fakulti Seni Halus dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) Alor Gajah kelas 2009.

ARTO tidak hanya tertumpu pada penghasilan seni visual dan seni halus semata-mata tetapi turut menyokong dan mempromosikan cabang seni lain seperti nyanyian dan tarian.

Sesiapa yang berminat berkolaborasi atau menyumbangkan dana atau ingin mengajukan pertanyaan boleh berhubung melalui FB Arto Movement atau Instagram dan Twitter @artomovement.

INFO

ARTO MOVEMENT

• FB: ARTO Movement

• Instagram/Twitter: @artomovement

• Telefon: 011-2215 8133 (Amir)/018-987 2537

Disiarkan pada: May 24, 2017 @ 12:00am
d