geny

Robot 'bff' Miejie

Oleh Redzuan Muharam

Bagi segelintir individu, mainan hanya sesuai untuk kanak-kanak namun tidak bagi Mohd Termizi Mohd Nor, 30, yang setia dengan hobinya iaitu mengumpul robot mainan Transformers sejak 10 tahun lalu.

Anak kedua daripada tiga beradik itu mengakui ada yang menganggap hobinya itu seperti kebudak-budakan, namun dia tidak ambil peduli kerana baginya, mainan Transformers dekat dengan dirinya yang mempunyai latar belakang dalam bidang kejuruteraan.

Sebab itu, dia sanggup mengasingkan wang hasil gaji bulanan bagi membeli mainan berkenaan yang terdiri daripada jenis ‘masterpiece’ siri 1 hingga 35 yang berharga antara RM150 hingga RM800.

“Sejak umur tiga tahun lagi saya meminati Transformers, cuma tidak mampu membelinya ketika itu.

“Namun impian memiliki permainan itu akhirnya tercapai selepas menerima gaji bulanan yang pertama.

“Seingat saya, Transformers jenis Leader Class Buster Optimus Prime adalah koleksi pertama yang dibeli dengan harga RM180 dan sejak itu, saya terus menambah koleksi sekurang-kurangnya satu dalam sebulan,” katanya yang kini bekerja sebagai juruteknik.

Bercerita lanjut, Mohd Termizi atau lebih mesra dengan panggilan Miejie berkata, buat masa ini, dia mempunyai kira-kira 150 robot Transformers yang disimpan rapi di dalam rak di rumahnya.

Katanya, sebahagiannya dibeli di portal jualan dalam talian dan ada juga daripada individu.

“Ada yang berharga ratusan ringgit dan tidak kurang juga mencecah ribuan ringgit seunit, namun paling mahal adalah Transformers ‘Devastator’ daripada jenama Toyworld yang dibeli dengan harga RM2,100.

“Disebabkan mahal, saya simpan RM300 setiap bulan untuk membeli mainan berkenaan dan sudah membelanjakan puluhan ribu ringgit untuk hobi ini.

“Biarlah orang nak kata apa kerana bagi saya, hobi ini istimewa dan antara kelebihannya adalah menjana daya imaginasi seseorang,” katanya yang menetap di Kampung Melayu Subang, Shah Alam.

Menurut Miejie, masa hujung minggu lebih banyak dihabiskan bersama rakan karibnya, Mohd Azizul Shah Ahmad Zainuddin yang juga pengumpul mainan Transformers.

Miejie berkata, jika tidak bermain di rumah, mereka akan pergi ke Amcorp Mall, Petaling Jaya untuk bertemu komuniti pengumpul lain pada setiap Ahad.

“Selalunya saya akan berada di sana dari pagi sehingga petang bersama mereka bagi berkongsi apa juga maklumat berkaitan Transformers.

“Perjumpaan itu salah satu aktiviti rutin kami ketika hujung minggu dan dari situ, saya dapat berkenalan dengan peminat Transformers lain.

“Memang seronok malah kami turut merancang menonton filem terbaru Transformers yang akan ditayangkan tidak lama lagi,” katanya yang mengendalikan Facebook Transformers Buy/Sell/Trade Malaysia.

Disiarkan pada: May 26, 2017 @ 6:11am
d