geny

Jersi terapi Hafiz

Oleh Redzuan Muharam

Minat terhadap kelab bola sepak gergasi Eropah mendorong Muhammad Hafiz Mohd Noor, 20, mengumpul jersi untuk dijadikan simpanan peribadi.

Muhammad Hafiz atau lebih mesra dengan panggilan Hafiz berkata, hobi itu bermula sejak lima tahun lalu dan dia mengakui ‘ketagih’ untuk menambah koleksi setiap kali munculnya keluaran jersi terbaru di pasaran.

Menurut Hafiz, ibunya pernah menasihatkan agar tidak terlalu obses namun kini memahami minatnya itu.

“Setakat ini, saya sudah mengumpul kira-kira 300 jersi pelbagai kelab dan pasukan Eropah yang dikumpul sejak 2014.

“Sebahagiannya dihadiahkan keluarga dan seorang daripada adalah ibu yang pernah memberikan jersi pasukan Portugal.

“Manakala selebihnya dibeli di kedai pakaian terpakai, butik pakaian sukan dan individu perseorangan (pengumpul) dengan paling mahal adalah jersi AC Milan berharga RM400,” katanya yang menyambung pengajian peringkat ijazah dalam jurusan Seni Halus di Univesiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam.

Pemuda kelahiran Muar, Johor itu berkata, meskipun pernah ditegur ibunya kerana obses mengumpul jersi, dia tetap meneruskan hobi itu kerana menganggap pakaian berkenaan mempunyai keistimewaan tersendiri.

Disebabkan itu, dia ‘pantang’ melihat jersi kerana pasti akan membeli sehingga bilik di rumahnya dipenuhi gantungan pakaian berkenaan yang kebanyakannya dipakai sekali saja.

“Setiap kali melihat jersi, saya jadi tenang dan ia seakan-akan terapi lebih-lebih ketika menghabiskan masa di dalam bilik.

“Malah, saya sanggup memakai dua jersi sekali gus ketika menonton perlawanan bola sepak dan lebih melucukan apabila pernah berebut dengan pelanggan lain semata-mata kerana mahu membeli pakaian berkenaan.

“Mujurlah, keluarga kini memahami malah rakan juga sudah ‘masak’ dengan minat saya hingga memberikan pelbagai gelaran kerana obses dengan jersi,” katanya.

Hafiz berkata, selain jersi, dia turut mengumpul barangan lain yang berkaitan bola sepak.

Antaranya piala, rantai kunci, poster, bola, sarung tangan penjaga gol, sarung tangan dan patung figura pemain.

“Barangan itu adalah koleksi sampingan saya kerana keutamaan tetap dengan hobi mengumpul jersi tidak kiralah dari mana-mana pasukan sekalipun.

“Buat masa ini, saya seronok dengan hobi ini dan tidak terfikir untuk berhenti atau menjual koleksi yang ada kerana bukan senang untuk mendapatkannya,” katanya.

Disiarkan pada: June 9, 2017 @ 3:46am
d