geny

'Gila' sampul duit raya

Oleh Redzuan Muharam

Pesanan arwah ibu untuk menyimpan sampul duit raya masih segar di ingatan dan kerana itulah Ahmad Muhaimin Abdul Aziz, 29, meneruskan hobi berkenaan sehingga kini.

Baginya, hobi itu cukup istimewa kerana bukan mudah mendapatkan sampul duit raya sebaliknya ia hanya dikeluarkan ketika musim perayaan.

Bercerita lanjut, Ahmad Muhaimin berkata, dia mula berjinak-jinak dengan hobi berkenaan sejak di bangku sekolah tetapi ketika itu sekadar suka-suka.

“Namun, hobi suka-suka itu bertukar menjadi serius selepas menonton laporan mengenainya yang disiarkan di Buletin Utama TV3, dua tahun lalu.

“Bermula dari situ, saya kembali aktif dan mula menyertai kumpulan peminat sampul duit raya di Facebook (FB) sebelum mendaftar sebagai ahli pada tahun lalu.

“Selain mendapat kenalan baru, saya turut menimba ilmu baru hasil penyertaan dalam kelab itu antaranya cara menyusun dan menyimpan sampul duit raya dengan betul,” katanya yang bekerja sebagai eksekutif setiausaha.

Anak kelahiran Ipoh, Perak itu berkata, meskipun berkongsi minat sama, setiap pengumpul mempunyai kecenderungan tertentu begitu juga dia yang lebih gemar menyimpan sampul tiga perayaan utama iaitu Aidilfitri, Deepavali dan Tahun Baru Cina.

Ahmad Muhaimin berkata, kebanyakan koleksinya dibeli atau diperoleh hasil penyertaan dalam peraduan ‘like’ dan menang di laman sosial.

“Buat masa ini, saya mempunyai kira-kira 7,000 hingga 8,000 koleksi sampul duit raya dan semuanya disimpan di dalam fail mengikut jenis perayaan.

“Seawal Ramadan lagi saya mula mencari koleksi terbaru begitu juga apabila tiba musim perayaan lain.

“Nak kata murah itu tidak juga kerana setiap hobi memerlukan pelaburan dari segi wang namun minat mengatasi segalanya,” kata anak kedua daripada tiga beradik ini.

Menurut Ahmad Muhaimin, golongan bukan peminat mungkin menganggap sampul duit raya sebagai tempat simpanan wang semata-mata namun tidak baginya dan peminat lain yang puas setiap kali dapat menambah koleksi baru.

Malah, baginya sampul duit raya cukup istimewa kerana mempunyai nilai sentimental dan elemen kebudayaan yang dapat dilihat melalui coraknya.

“Istimewanya sampul duit raya ini kerana ia tampil dengan corak berlainan setiap tahun jadi kita dapat melihat perbezaannya dari dulu hingga kini.

“Selain itu , ia mempunyai ciri budaya yang membolehkan golongan pengumpul seperti saya berkongsi koleksi peribadi untuk tatapan generasi akan datang,” katanya.

Disiarkan pada: June 16, 2017 @ 4:12am
d