geny

'Game terbaik penghujung 2017'

Oleh Hazril Md Nor

Masa berlalu dengan pantas dan kita sudah berada di penggal kedua 2017. Kalau diperhatikan, beberapa permainan video hebat sudah menemui peminat awal tahun ini. Judul seperti Persona 5 dan Diablo 3: Rise of Necromancer memenuhi cita rasa peminat terutama mereka yang sudah lama mengikuti francais ini.

Apa pula yang bakal disajikan sehingga hujung tahun ini? Baca artikel ini untuk mengetahui judul menarik yang akan membuatkan anda tidak senang duduk dan tidak sabar mendapatkannya di pasaran.

1. Evil Within 2 (13 Oktober)

Bagi peminat genre tembak-menembak yang diselitkan unsur seram, anda pasti pernah bermain The Evil Within suatu ketika dulu. Karya agung Shinji Mikami ini dicipta bagi memastikan peminat Resident Evil klasik merasai pengalaman yang menakutkan ketika meneroka dunia dipenuhi makhluk pelik.

Formula itu ternyata berjaya kerana banyak syarikat penerbitan memuji visual, gaya permainan dan kandungan baru dibawakan permainan itu. Penggal ini, protagonist Sebastian Castellanos akan merungkai misteri anaknya, Lily yang dikatakan masih hidup. Anda akan dibawa ke dunia yang dibentuk dalam minda Lily dan seterusnya menggagalkan usaha syarikat korup Mobius dari terus melakukan eksperimen ke atas minda manusia.

2. Destiny 2 (8 September)

Ternyata penantian sekian lama bagi peminat genre penembakan tunggal (FPS) berakhir dengan pengeluaran Destiny 2 yang pertama kalinya dibangunkan untuk platform PC tidak lama lagi. Ia akan dikeluarkan secara rasmi di konsol pada 8 September ini.

Destiny 2 menyambung legasi sejak keluaran pertama dengan memperkenalkan puak baru yang ingin memperluaskan kuasa mereka di seluruh galaksi. Kembara anda akan membawa anda merentasi sistem solar dalam peperangan ke atas puak Red. Dua kelas ‘sub’ membolehkan pemain mengubah karakter mereka untuk menyesuaikan dengan stail berbeza.

3. Assasin’s Creed: Origins (27 Oktober)

Francais popular yang menceritakan kisah pembunuh senyap di Itali ini akan hadir dengan keluaran terbaru yang lebih menarik. Diberi nama Assassin’s Creed Origins, ia bukan saja memperkenalkan konsep dunia terbuka tapi juga meninggalkan sepenuhnya tema ‘sandox’ yang digunakan dalam entri sebelum ini.

Diumumkan di Ekspo Hiburan Elektronik (E3) baru-baru ini, ia mempunyai dua elemen penting iaitu penerokaan dan tahap perkembangan karakter. Origins kembali menggunakan sistem pertarungan ‘stealth’ dan ini antara pembaharuan dari keluaran sebelumnya.

Permainan konsol ini turut dilabel sebagai prekuel memandangkan Ubisoft ingin mengembalikan zaman kegemilangan Assassin’s Creed yang asal. Pastinya peminat francais ini akan berasa tidak sabar menantikan keluaran ini nanti.

4. Call of Duty: World War II (3 November)

Siapa sangka, elemen sains fiksyen dengan teknologi canggih sebenarnya tidak mampu memuaskan hati peminat permainan berkonsepkan tembak-menembak, Call of Duty.

Judul terbaru COD: Infinite Warfare tidak menepati kehendak peminat seperti disuarakan oleh wakil Activision, Eric Hirshberg. Disebabkan itu, judul Call of Duty seterusnya yang akan dibangunkan oleh Sledgehammer Games akan kembali kepada format asalnya .

Difahamkan, laporan kewangan yang merujuk kepada hasil jualan Infinite Warfare menurun hampir 50 peratus jika dibandingkan dengan Black Ops 3.

Oleh itu, Activision akan menjejaki langkah Capcom dengan mengubah struktur francais kepada genre asal. Judul terbaru itu yang dinamakan Call of Duty: World War 2 akan menggunakan latar tempat ketika Perang Dunia ke-2.

5. Marvel vs. Capcom: Infinite (Oktober - Disember 2017)

Capcom sentiasa menanam fokus dalam koleksi permainan video berkonsepkan pertarungan dan untuk tahun ini, mereka ingin memperkenalkan keistimewaan karakter dari francais Marvel. Diberi tajuk Marvel vs. Capcom: Infinite, ia membariskan watak dari Avengers, Guardians of the Galaxy. Namun, persoalan masih timbul samada permainan ‘cross-platform’ ini akan ‘meletup’ seperti keluaran lain.

Mod baru memfokuskan kepada plot yang lebih mendalam. Ia menceritakan perjalanan hero daripada dunia Capcom dan Marvel dalam usaha melawan kuasa jahat, Ultron Sigma dari menakluki dunia.

Disiarkan pada: July 13, 2017 @ 12:49pm
d