geny

4 game dalam 1 pertandingan

Oleh Hazril Md Nor

Permainan video klasik seperti Street Fighter, Tekken dan King of Fighters boleh dikatakan tidak tenggelam dek zaman. Sehingga kini francais itu masih ada pengikutnya sendiri.

Komuniti Malaysia Fighting Games (MYFGC) menganjurkan pertandingan dengan kolaborasi bersama Flash Vision dan Studio Geek Empire di Ampang, baru-baru ini bagi mengumpulkan peminat dalam satu pertandingan.

Diberi nama Pertandingan Hari Raya MYFGC, permainan konsol seperti King of Fighters XIV, Tekken 7, Injustice 2 dan Street Fighter V dipertandingkan dengan penyertaan lebih 20 orang (17 bagi Injustice 2).

Pemenang memenangi perkakasan elektronik Armageddon seperti papan kekunci, tetikus dan fon kepala. Terdapat juga cabutan bertuah bagi peserta lain yang mengambil bahagian.

Pengasas studio Geek Empire, Mohd Izwan Tumiran berkata, ia bukan saja pertandingan terbuka kepada semua malah menggalakkan silaturahim antara peserta.

“Konsep asalnya ialah buat rumah terbuka sempena Syawal. Tapi ada penambahan idea pula untuk adakan pertandingan.

“Lebih menarik begini kerana setiap peserta dari serata negeri dikumpulkan untuk ‘lepak’ sempena jamuan Aidilfitri dan pada masa sama bersaing secara sihat,” katanya.

Menganjurkan pertandingan merangkumi empat permainan video mungkin sukar namun ia bukanlah mustahil.

Kata Izwan, persiapan rapi perlu dilakukan dari awal.

“Memang sukar memastikan acara itu berjalan lancar dan hak peserta dijaga. Tapi dengan bantuan tenaga kerja berpengalaman, ia jadi mudah.

“Alhamdulillah, segalanya terkawal walaupun ada sedikit masalah timbul ketika hari pertandingan. Malah, sambutan juga meriah kerana keempat-empat game mendapat penyertaan penuh daripada peserta,” katanya.

Sementara itu, Naib Presiden MYFGC Mohd Aliffa Mohd Isa berkata, pertandingan ini dapat menggilap bakat peserta agar lebih bersedia ke kejohanan skala besar.

“Meskipun acara ini hanya kecil-kecilan, saya boleh nampak dari segi komitmen peserta yang memberikan persembahan terbaik mereka. Ini kerana game pertarungan memerlukan ‘learning curve’ yang tinggi dan hari ini mereka membuktikan kebolehan masing-masing.

“Bagi Gen Y pula, mereka tidak kekok untuk mengambil bahagian kerana yakin kebolehan sendiri. Malah, komuniti ini saling menyokong. Tiada isu berbangkit seperti andaian pemain veteran lebih handal dan sebagainya,” katanya.

Aliffa berkata, kejohanan sebegini akan diadakan lagi pada masa depan dan peminat permainan pertarungan boleh mengambil bahagian dalam kejohanan lain penghujung tahun ini.

“Bagi peminat yang sudah berjaya melepasi pusingan kelayakan, mereka akan mencuba nasib pada kejohanan HotShotz Sabtu ini dan Flash Vision Cup pula akan dibuka penyertaannya tidak lama lagi.

“Dua kejohanan ini menunjukkan permainan ‘fighting’ mula dipandang serius dan ia turut meningkatkan kadar pertumbuhan pasaran e-sukan dalam negara kita,” katanya.

Disiarkan pada: July 20, 2017 @ 9:36am
d