geny

Gila baju bundle

Oleh Redzuan Muharam

Golongan bukan penggemar mungkin menganggap pakaian terpakai atau bundle hanya sesuai menjadi pakaian basahan di rumah.

Namun, tidak bagi Nor Shahdi Supardi yang menganggap pakaian sebegitu kaya dengan nilai sentimental.

Jika tidak, mana mungkin Nor Shahdi sanggup menjadi pengumpul tegar dengan lebih 700 helai baju di dalam simpanannya.

Bagi Nor Shahdi, dia cukup serasi dengan pakaian bundle dan seperti ‘ketagih’ membelinya sejak empat tahun lalu.

“Mulanya, saya tidak arif mengenai pakaian bundle tetapi tahu mengenainya selepas menemani abang ke bazar di Jalan Chow Kit.

“Dari situ, baru saya tahu harganya murah hingga timbul minat membeli sekali gus menjadikannya sebagai koleksi peribadi.

“Tak sangka pula, tabiat mengumpul itu berterusan sehingga saya obses dan sanggup membeli pakaian dijual di portal beli belah dalam talian seperti Ebay,” katanya.

Bercerita lanjut, Nor Shahdi berkata, memandangkan baju dibeli itu terpakai, dia akan mencucinya terlebih dulu bagi memastikan pakaian itu benar-benar bersih daripada kekotoran.

Katanya, bagi menjaga kualiti, dia sanggup mencuci dengan tangan berbanding mesin basuh kerana bimbang warna atau coraknya luntur.

“Walaupun ia pakaian bundle, saya tetap menjaga dengan baik kerana bukan untuk mendapatkannya lebih-lebih lagi jika motif pakaian itu ‘rare’ contohnya kartun atau karakter pada 1980-an hingga 1990-an.

“Sebab itu, saya akan menyimpan kembali pakaian yang dicuci di dalam plastik lutsinar atau beg khas.

“Sekurang-kurangnya, ia tersusun rapi walaupun sebahagian besar sekadar menjadi koleksi dan tidak pernah dipakai,” katanya.

Nor Shahdi berkata, sehingga kini, keluarga dan rakan terdekat memahami kecenderungannya dalam mengumpul pakaian bundle.

Malah, Nor Shahdi yakin hobinya itu bukan sia-sia kerana dia sendiri memanfaatkan minat terhadap bundle dengan menjadi penjual pakaian sepenuh masa dalam talian.

“Selain mengumpul, saya turut menjual pakaian menerusi laman Facebook iaitu Bundle Forlife sebagai salah satu cara mencari pendapatan jadi tiada istilah hobi ini satu pembaziran.

“Cuma, ada segelintir beranggapan sebegitu dan ia mungkin kerana mereka tidak faham dan tak berkongsi minat sama dengan saya juga pengumpul yang lain.

“Biasalah, lain orang lain minatnya begitu juga saya yang menganggap baju bundle ini ada keistimewaannya ,” katanya.

Disiarkan pada: July 21, 2017 @ 7:19am
d