geny

Alternatif kemeja kotak-kotak

Oleh Redzuan Muharam

Kemeja bermotifkan kotak-kotak antara pakaian yang kerap menjadi pilihan untuk keluar bersantai atau acara kasual lebih-lebih lagi bagi lelaki.

Kebanyakannya gemar ‘bermain selamat’ dengan menggayakan pakaian itu bersama denim saja sedangkan ada cara untuk menjadikannya kelihatan lebih menarik.

Tidak perlu berbelanja lebih sebaliknya anda hanya perlu suai padan dengan pakaian lain yang sedia ada di dalam almari.

Berikut idea yang boleh anda cuba untuk menyuai padan kemeja atau pakaian kotak-kotak yang ada di rumah:

1. JAKET

Jaket kulit atau denim cukup sesuai dipadankan dengan kemeja kotak-kotak cuma lebih kemas jika anda memasukkan baju ke dalam seluar berpotongan ‘skinny’.

Untuk lebih feminin, pakai aksesori seperti rantai dan sarungkan kasut bertumit tinggi manakala memadai dengan but atau sniker bagi lelaki.

2. BAJU-T WARNA POLOS

Jika mahu keluar bersantai, padankan kemeja corak kotak-kotak dengan baju-T warna putih atau polos di bahagian dalam.

Tidak perlu mengancing butangkan sebaliknya biarkan terbuka untuk kelihatan ringkas dan kasual.

3. SKIRT ATAU SELUAR PENDEK

Padanan baju dengan denim panjang kadangkala membosankan jadi gantikan dengan skirt ataupun seluar pendek.

Gaya itu cukup sesuai lebih-lebih untuk anda yang masih remaja jadi tiada salahnya untuk lari daripada kebiasaan.

4. LILIT DI PINGGANG

Tidak perlu sarung di badan sebaliknya lilit saja di pinggang untuk kelihatan lebih kasual.

Gaya ini sesuai ketika keluar bersantai di luar lebih-lebih ketika cuaca panas.

5. SEBAHAGIAN BAJU DI LUAR

Untuk kelihatan ringkas tetapi bergaya, anda hanya perlu memasukkan sebahagian baju saja ke dalam.

Manakala, sebahagian lagi dibiarkan keluar. Untuk lebih menarik, tambahkan dengan aksesori seperti gelang bagi si gadis.

6. JUMPSUIT

Tidak kira jejaka mahupun gadis, kedua-duanya boleh memadankan kemeja kotak-kotak dengan ‘overall’ atau ‘jumpsuit’.

Malah, gaya itu cukup sesuai dengan remaja dan lebih sesuai jika ia dipadankan dengan sniker atau but paras buku lali!

Disiarkan pada: August 5, 2017 @ 1:57am
d