geny

Buka mata terhadap Islam

Oleh Shuhada Mansor

Meskipun Islamophobic menjadi perdebatan hebat di Eropah, berbeza bagi Daan van den IJssel, 24, yang pernah tinggal di Jordan selama hampir setahun.

Dia menganggap keputusan tinggal di Jordan langkah terbaik pernah diambil dalam hidupnya. Sekali gus, membuatkan dia lebih memahami Islam.

“Saya boleh katakan, ia antara perkara paling hebat pernah berlaku dalam hidup saya. Jarang sekali siswa di Eropah akan terima tawaran latihan amali di mana-mana negara Timur Tengah. Jujur, ini kerana mereka kurang selesa disebabkan majoriti penduduk beragama Islam.

“Namun bagi saya, ia satu cabaran besar dan tak sangka ia menjadi kenangan manis sampai bila-bila,“ katanya yang melakukan latihan amali di Lapangan Terbang Antarabangsa Amman, Jordan, dua tahun lalu.

Belajar budaya & cara hidup Islam

Sepanjang di Jordan, Daan berkata, dia berjaya mengetepikan rasa berat sebelah dan prejudis terhadap penduduk di Timur Tengah.

“Jika sebelum ini, saya selalu mendengar pendapat negatif mengenai Islam sama ada di media sosial ataupun daripada rakan, apabila dapat peluang tinggal bersama mereka (komuniti Islam), banyak perkara ‘indah’ saya belajar.

“Antaranya adab sesama manusia, rasa hormat yang tinggi terhadap

orang tua dan disiplin. Ramai rakan bertanya hal ini dan saya selalu sarankan kepada mereka untuk pergi dan faham sendiri. Ia jauh berbeza dengan apa yang dikatakan di media massa,” katanya.

Jika ingin melihat bagaimana masyarakat Islam melaksanakan tanggungjawab terhadap agama dengan cara masih ‚old-fashioned‘ tanpa ada sebarang keganasan, Daan percaya Jordan antara salah satu destinasi tepat untuk anda rasai sendiri.

Kaji dulu, baru bagi pendapat

Daan yang kini menuntut dalam jurusan Sarjana Kejuruteraan Polisi berkata, untuk menjadi generasi yang membangun, jangan ada sikap mudah untuk menghakimi apa saja tanpa mengkaji terlebih dulu.

Katanya, mengembara antara cara terbaik untuk kita memahami sendiri cara masyarakat setempat dan budaya di sesebuah lokasi yang kita pergi.

“Perlu faham kenapa kita mengembara dan dari situ kita akan dapat rasa puas hati untuk apa yang kita inginkan,” katanya yang berasal dari Den Haag, Belanda.

Ingin berbasikal di Vietnam

Ditanya apa impian terbesar ingin dilakukannya, Daan berkata, dia ingin berbasikal dari utara hingga selatan Vietnam. Kenapa Vietnam? Dia menjelaskan, landskap dan segala yang ada di negara Asia Tenggara jauh berbeza dengan Eropah.

Oleh itu, katanya, selain landskap, dia ingin mengkaji perkara lain seperti agama, adat dan apa saja sepanjang perjalanannya nanti.

“Agak takut apabila difikirkan sebab jauh dari tanah air, tapi mencabar diri untuk melakukan sesuatu yang menjadikan kita lebih berilmu perlu dilaksanakan,“katanya yang menyimpan cita-cita untuk bekerja dengan organisasi amal membantu golongan memerlukan.

Disiarkan pada: August 7, 2017 @ 1:13pm
d