geny

'Peluang sama rata'

Oleh Hazril Md Nor

Kebanyakan acara e-sukan diadakan di ibu kota kerana kemudahan dan penyertaan daripada anak muda yang ramai di bandar metropolitan.

Bagaimanapun, industri e-sukan sentiasa berubah dan ini bagi memastikan seluruh Malaysia terdedah dengan budaya persaingan yang kompetitif serta sihat.

Itu yang berlaku Jumaat hingga Ahad lalu di MAEPS, Serdang apabila seramai 512 peserta tempatan dan Indonesia berentap bagi menempah slot dalam kejohanan Borneo E-Arena anjuran PNM Ideas di Kota Kinabalu, Sabah.

Pengasas Gamesbond dan penganjur bersama acara, Fazli Razak berkata, kejohanan dengan penyertaan seramai itu adalah yang pertama kali diadakan dalam negara.

“Pada mulanya kami berkolaborasi bersama PNM Ideas untuk mengadakan satu kejohanan yang bukan saja besar malah memberi peluang kepada anak muda di Sabah dan Sarawak menonjolkan kemahiran mereka.

“Di samping permainan utama iaitu Mobile Legends, tumpuan diberikan kepada FIFA 17 bagi melahirkan bakat baru di sana.

“Malah, populariti Mobile Legends berjaya menarik pesaing luar yang berminat untuk bertanding sekali gus memberikan idea kepada kami untuk turut sama menganjurkan pertandingan FIFA 17 yang terbuka kepada 9 negara,” katanya.

Fazli berkata, bilangan ahli seramai 512 orang pada pusingan kelayakan itu antara kejayaan untuk kejohanan FIFA 17.

“Kejohanan yang berlangsung selama tiga hari itu memerlukan kudrat dan tenaga kerja yang ramai. Kami juga perlu menjaga setiap kebajikan pemain agar mereka mendapat hak masing-masing sebagai peserta.

“Memang sukar dilaksanakan namun alhamdulillah acara berjalan lancar dan kami berhasrat menganjurkan pertandingan dengan bilangan slot lebih banyak selepas ini. Mungkin sampai 1,024 peserta,” katanya.

Pusingan kelayakan itu dimenangi Angga Pamungkas dari kumpulan Zeus Gaming di Indonesia. Dia membawa pulang wang tunai RM2,500 dan menjadi seorang daripada tujuh peserta yang layak ke pusingan akhir di Kota Kinabalu, Sabah.

Enam belas peserta termasuk dari Indonesia, Zimbabwe, Sudan dan beberapa negara Timur Tengah akan berentap dalam permainan FIFA 17 untuk merebut wang tunai terkumpul RM30,000 pada 15 hingga 17 September ini.

Disiarkan pada: August 10, 2017 @ 4:10am
d