geny

Tukang jahit busana Barbie

Oleh Redzuan Muharam

Patung Barbie bagaikan peneman setia Mohd Tarzeli Sobeng, 22, sejak empat tahun lalu tetapi menariknya, dia bukan hanya mengumpul malah turut menjahit sendiri pakaian mainan berkenaan menggunakan kain terpakai.

Mohd Tarzeli atau lebih mesra dengan panggilan Tata berkata, pada mulanya, dia menghasilkan pakaian berkenaan untuk suka-suka tetapi permintaan daripada pengumpul lain mendorongnya mengambil tempahan.

Tata berkata, wang diperoleh itu digunakan untuk membeli patung baru bagi menambah koleksi sedia ada.

“Sejak kecil saya meminati watak Barbie cuma mula mengumpulnya empat tahun lalu ketika bekerja sambilan di sebuah kilang.

“Bagi saya, patung Barbie unik kerana setiap set lengkap dengan aksesori seperti beg tangan dan kasut pelbagai warna.

“Paling menarik tentunya pakaian yang boleh ditukar ganti jadi seronok bila dapat menggayakannya dan sebab itu saya gunakan kemahiran menjahit untuk mengambil tempahan daripada pengumpul yang berminat ,” katanya.

Anak jati Sarawak itu berkata, kebiasaannya, dia mengambil masa antara 30 hingga satu jam lebih untuk menyiapkan pakaian patung berkenaan.

Katanya, tempoh masa itu bergantung kepada jenis pakaian dimahukan pelanggan iaitu sama ada kasual mahupun tradisional.

“Saya tidak pakai mesin sebaliknya menghasilkan setiap pakaian itu dengan jahitan tangan.

“Tidak susah pun cuma menyiapkan pakaian kasual seperti baju-T lebih cepat berbanding kurung atau gaun.

“Sebab itu, upah jahit baju tradisional lebih tinggi iaitu RM15 manakala RM7 saja untuk pakaian kasual,” katanya.

Bercerita lanjut, Tata berkata, buat masa ini, dia mempunyai lebih 20 koleksi patung Barbie dan semuanya ditempatkan di dalam kotak yang diubah suai menjadi rumah.

Menurut Tata, sesekali, dia akan bermain dengan patung berkenaan dengan menukar pakaian atau menyusun atur kedudukan barangan di dalam rumah mainan berkenaan.

“Hobi ini cukup memberi kepuasan kerana saya dapat curahkan kreativiti yang ada dengan menghasilkan rumah untuk menempatkan patung daripada bahan terbuang iaitu kotak.

“Menariknya, rumah itu mempunyai ruang tamu, bilik tidur dan dapur, sama bentuknya dengan kediaman sebenar cuma dalam saiz kecil.

“Bagi orang lain, apa yang dilakukan ini mungkin agak pelik tetapi itulah yang dinamakan hobi, cuma apa yang penting tidak melebihi kemampuan,” katanya.

Disiarkan pada: August 11, 2017 @ 3:17am
d