geny

Berdikari tanpa sebelah kaki

Oleh Redzuan Muharam

Kecacatan dialami Mohammad Alif Mohamad Tarmezam, 20, akibat kemalangan jalan raya tiga tahun lalu bukan alasan pemuda berkenaan mengharapkan belas ihsan individu sekeliling.

Sebaliknya, anak bongsu daripada lima beradik ini lebih selesa berdikari dan kini menjual beg jinjing yang dihasilkan sendiri.

Mohammad Alif berkata, selain mengisi masa terluang, niatnya untuk mencari pendapatan sampingan juga membuktikan orang kurang upaya (OKU) juga boleh ke depan dengan kemahiran yang ada.

“Pada mulanya, saya amat sedih dan tidak dapat menerima kenyataan kaki kiri sudah tiada namun rakan dan keluarga banyak memberikan sokongan moral ketika itu.

“Sebab itu, saya bersemangat dan nekad menjalani hidup seperti biasa walaupun dengan pergerakan yang terbatas.

“Lagipun, tiada guna untuk terus bersedih kerana saya tidak keseorangan sebaliknya ramai lagi insan senasib, jadi lebih baik gembirakan diri dengan menjalankan perniagaan seperti dilakukan kini,” katanya yang menetap di Pulau Pangkor, Perak.

Bercerita lanjut, Mohammad Alif berkata, perniagaan itu dijalankannya sejak tahun lalu, namun secara kecil-kecilan tanpa promosi meluas.

Meskipun begitu, Mohammad Alif berkata, dia puas kerana apa yang dilakukan itu berfaedah dan bukan perkara yang sia-sia.

“Saya pilih perniagaan ini kerana minat melukis dan dengan cara itu dapat mencurahkan idea dan kreativiti yang ada.

“Walaupun tidak begitu serius, saya seronok dan menganggap ini sebagai terapi untuk menghilangkan rasa bosan,” katanya.

Menurut Mohammad Alif, selain perniagaan itu, dia turut aktif bersukan dan ke pusat gimnasium pada waktu terluang.

Mohammad Alif berkata, salah satu sukan yang diminatinya ketika ini adalah renang dan memasang impian bergelar atlet jika diberi peluang.

“Sejak kecil, saya selalu berangan-angan bergelar polis seperti abang dan kakak namun melupakan impian itu sejak bergelar OKU.

“Kini, sasaran saya bergelar atlet renang dan sedang berusaha ke arah itu dengan menjalani latihan.

“Diharap ada platform untuk saya mengetengahkan bakat dalam sukan berkenaan satu hari nanti,” katanya.

Disiarkan pada: August 15, 2017 @ 6:17am
d