geny

'Emas buat Malaysia'

Oleh Fatin Farhana Japre

Dua atlet lawan pedang negara, Natasha Ezzra Abu Bakar, 26, dan Mohamad Roslan Mohamed, 26, komited menjalani latihan sejak awal tahun untuk memberi persembahan terbaik pada temasya Sukan SEA pada acara lawan pedang yang bermula hari ini di Malaysian International Trade and Exhibition Centre (MITEC).

Handal menerusi acara foil, Natasha Ezzra menaruh harapan tempoh dua bulan latihan di Korea Selatan pada Mei lalu mampu menghasilkan emas Sukan SEA diimpikan.

Meskipun pencapaian terbaik anak jati Johor itu sekadar gangsa di Jakarta 2011, dia berharap tidak mengulanginya di tanah air sendiri.

Berkongsi kisah pembabitannya menerusi sukan ini, Natasha Ezzra berkata dia bergiat aktif dalam sukan olahraga sebelum bapa saudaranya memberitahu peluang menjalani ujian TID (mengenal pasti bakat sukan) bagi lawan pedang.

“Awalnya saya jangka lawan pedang amat susah tetapi apabila diberi peluang menjadi sebahagian daripada pasukan, saya semakin teruja untuk mempelajari tekniknya.

“Dalam masa setahun saya sudah mahir bermain pedang dan ditawarkan memasuki Sekolah Sukan Tunku Mahkota Ismail, Bandar Penawar pada usia 14 tahun.

“Selepas setahun, saya terpilih mewakili negara ke Kejohanan South East Asian Fencing Championship di Manila.

“Walaupun saya hanya berjaya meraih pingat perak, itu sudah cukup bermakna untuk saya yang diberi peluang beraksi di kejohanan besar dan bernaung di bawah skuad kebangsaan lawan pedang pada usia muda,” kata anak kedua daripada enam beradik ini.

Katanya, dia menanam tekad dalam diri melakukan aksi yang lebih baik pada setiap pertandingan untuk menduduki tangga pertama menerusi sukan ini di Malaysia.

“Saya berlatih bersungguh-sungguh tanpa mengenal erti penat dan putus asa. Di setiap pertandingan saya akan memberikan aksi terbaik demi memastikan membawa pulang pingat untuk negara.

“Kini sudah 10 tahun saya menduduki tangga pertama di Malaysia dan berhasrat mengekalkan kedudukan ini.

“Demi mengekalkan kedudukan itu, saya akan terus komited menjalani latihan dan terus mencipta kejayaan,” katanya yang sudah menyertai lebih 40 pertandingan lawan pedang.

Penuntut tahun akhir ijazah Pendidikan Jasmani di Universiti Putra Malaysia (UPM) ini berkata dia juga menjadi contoh atau idola kepada empat adik-beradiknya yang turut mengikut jejaknya dalam sukan ini.

Tiga daripada mereka memasuki acara sama seperti Natasha Ezzra iaitu foil, jadi kelebihan ini digunakan sebaik mungkin untuk berkongsi teknik dan menjalani latihan fizikal bersama-sama.

Ketika ditanya mengenai sasaran pingat Sukan SEA, Natasha Ezzra berkata dia akan berjuang habis-habisan demi meraih emas untuk negara.

“Semua atlet pastinya mempunyai impian memenangi emas, begitu juga saya. Namun saya tidak mahu meletakkan tekanan ke atas diri sendiri kerana jika terlalu tertekan dan takut, ia hanya akan memberi impak negatif kepada diri sendiri.

“Jadi lebih baik saya tenang dan fokus terhadap persiapan diri sendiri,” katanya yang akan beraksi menerusi acara foil.

Sementara itu, Mohamad Roslan berkata kecenderungannya terhadap sukan ini memberi peluang untuk membuktikan kebolehannya pada usia 13 tahun lagi.

“Kali pertama saya dihantar beraksi di pertandingan Junior Circuit, Keramat dan meraih pingat emas. Saya semakin bersemangat dan komited menjalani latihan untuk persiapan Malaysia Open di Johor Bahru tetapi pada kejohanan itu rezeki tidak memihak kepada saya.

“Namun itu bukan titik noktah perjalanan hidup saya dan terus gigih berusaha sehingga diikktiraf sebagai atlet negara,” kata anak kelahiran Kelantan ini.

Katanya lagi, dia dapat merasai aura kemenangan dalam dirinya pada Sukan SEA ini memandangkan akan beraksi di negara sendiri.

“Saya sasar emas menerusi acara epee tetapi apa yang boleh saya lakukan hanyalah beraksi sebaik mungkin. Diharap rezeki berpihak kepada saya untuk menambah emas negara dan tidak menghampakan penyokong yang hadir,” katanya yang akan beraksi menerusi acara epee.

Disiarkan pada: August 21, 2017 @ 12:35pm
d