geny

Wira negara di bumi Uncle Sam

Oleh Redzuan Muharam

Bukan hanya perlu berjauhan dengan keluarga di tanah air, Ahmad Yusuf Ahmad Azani, 18, juga terpaksa mengorbankan waktunya bersama teman demi memberi tumpuan kepada latihan ketenteraan dan pengajian di Akademi Laut Amerika Syarikat (USNA), Annapolis, Maryland, Amerika Syarikat (AS).

Latihan itu mengambil masa selama empat tahun dan menariknya, Ahmad Yusuf, anak Malaysia yang direkrut memasuki USNA.

Lepasan Maktab Tentera Diraja (MTD) itu berkata, bukan mudah untuknya sampai ke tahap itu kerana ramai calon lain menghadiri temu duga tetapi tidak terpilih dan sebab itu dia mahu memanfaatkan peluang sepanjang di sana sebaik-baiknya.

“Walaupun baru tujuh minggu berada di sini, banyak pengalaman ditimba dan salah satunya ilmu renang dan cara memahami pertuturan mereka yang bercakap ‘laju’.

“Selebihnya, tidak banyak beza kerana disiplin tetap keutamaan. Cuma saya terikat dengan jadual harian yang padat dari Isnin sehingga Sabtu kecuali Ahad itu pun sehingga tengah hari saja.

“Senang cakap, saya seperti terputus dengan dunia luar di kem malah tiada peluang langsung memegang telefon kerana sudah disimpan pihak pengurusan sejak hari pertama,” katanya.

Bercerita lanjut, Ahmad Yusuf yang pernah menerima Hadiah Menteri Pertahanan pada tahun lalu berkata, sama seperti kem ketenteraan lain, dia tidak boleh lari daripada peraturan ditetapkan.

Antaranya membiasakan diri untuk tidur dan bangun jam 5.30 pagi atau lebih awal daripada waktu berkenaan.

“Tidur dan bangun awal itu perkara biasa, cuma bezanya di sini adalah cara pegawai mengejutkan kita yang sedang tidur.

“Mereka bukan hanya mengetuk pintu dengan kuat, tetapi turut menjerit di depan muka supaya kita terjaga.

“Kemudian, kami hanya diberi masa tiga minit saja untuk bangun dan mengemaskan tempat tidur sebelum bersiap memulakan latihan yang turut merangkumi larian sejauh tiga hingga empat kilometer setiap hari,” kata anak sulung daripada empat beradik.

Menurut Ahmad Yusuf, selain mengejar cita-citanya, tanggungjawab digalasnya cukup besar kerana perlu menjaga nama baik negara sepanjang berada di akademi berkenaan.

Ahmad Yusuf berkata, sebab itu dia cuba menjaga disiplin sebaik-baiknya selain mengingati pesan ibu bapa supaya tidak meninggalkan perkara wajib iaitu solat lima waktu.

“Saya cuma membawa beberapa beg pakaian manakala tiket penginapan dan semua keperluan lain ditaja sepenuhnya.

“Jadi, saya tiada pilihan kecuali memberi komitmen yang baik sepanjang tempoh latihan supaya tiada persepsi negatif daripada mereka terhadap negara.

“Diharap, ilmu dan pengalaman sepanjang berada di sini dapat saya gunakan untuk berbakti di tanah air selepas tamat pengajian,” katanya.

Disiarkan pada: August 22, 2017 @ 5:42am
d