geny

Ratu pecut negara

Oleh Fatin Farhana Japre

Ratu pecut negara, Zaidatul Husniah Zulkifli, 24, melakar kejayaan dengan meraih pingat perak bagi acara 100 meter (m) dan 200m wanita Sukan SEA 2017 di Stadium Nasional Bukit Jalil, baru-baru ini sekali gus membanggakan 28.7 juta rakyat Malaysia.

Meskipun hasrat menjadi ratu trek Asia Tenggara tidak kesampaian, dia tetap berpuas hati dengan pencapaian itu selepas bekerja keras berbulan-bulan lamanya dan terharu dengan sokongan rakyat Malaysia.

Atlet kelahiran Pulau Pinang ini berkata selain jurulatih dan rakan atlet, ibu bapanya serta kakak kembar, Zaidatul Husna Zulkifli pembakar semangat utama di sebalik kejayaannya sejak dulu.

Berkongsi kisah pembabitannya menerusi sukan ini, Zaidatul Husniah berkata dia memang bergiat aktif dalam acara larian sejak sekolah rendah namun tidak pernah terfikir menjadi atlet harapan negara.

“Mulanya sekadar suka-suka untuk meluangkan masa lapang tetapi atas dorongan abah saya mula serius dan memasuki sekolah sukan pada usia 13 tahun di Pulau Pinang.

“Sejak itu, saya mewakili Pulau Pinang di kejohanan besar seperti Sukan Malaysia (SUKMA) di Pahang dan Perlis serta berjaya meraih pingat emas.

“Kemudian saya ditawarkan kemasukan tingkatan empat di Sekolah Sukan Bukit Jalil (SSBJ). Saya menerima tawaran itu dan menyimpan hasrat untuk fokus melakukan sesuatu yang menonjolkan bakat saya,” katanya.

Penuntut jurusan Pendidikan Jasmani di Universiti Putra Malaysia (UPM) ini berkata, peluang ini digunakan sebaik mungkin dengan menyertai banyak pertandingan dan meraih pingat untuk negara.

Usahanya selama bertahun-tahun berbaloi apabila Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) mencadangkan namanya sebagai peserta wildcard dalam acara 100m wanita di Sukan Olimpik Rio tahun lalu.

“Ia ibarat mimpi menjadi kenyataan kerana sudah sekian lama saya menunggu peluang itu. Perasaan gembira juga tidak dapat diungkap dengan kata-kata apabila dapat mewakili negara ke Sukan Olimpik buat kali pertama.

“Walaupun gagal mengekalkan catatan kepantasan 12.12 saat pada aksi saringan pusingan pertama dan sekadar mencatat 12.62 saat, saya tetap berbangga serta tidak perlu tunggu empat tahun lagi untuk merasai pengalaman beraksi di pentas Sukan Olimpik,” katanya.

Pelari terpantas negara ini juga hampir melakar sejarah olahraga negara apabila mengatasi rekod kebangsaan milik G Shanti di Kejohanan AGN League 7 di Pretoria, Afrika Selatan pada Mac lalu.

Bagaimanapun, catatan masa 11.36 saat yang dilakukan Zaidatul Husniah tidak diiktiraf sebagai rekod kebangsaan kerana dibantu oleh tiupan angin 2.5 km/j.

“Secara jujurnya, saya memang tidak jangka akan mencatat masa 11.36 saat sebab kira-kira setahun saya tidak terbabit dengan pertandingan. Kejohanan itu dikira pusingan pertama untuk tahun ini dan saya anggap bukan rezeki apabila ia tidak diiktiraf.

“Selepas itu, saya berjaya mencipta rekod kebangsaan baru acara 100m dengan catatan masa 11.45 saat di Kejohanan Olahraga ASA Speed Series 2 di Bloemfontein, Afrika Selatan pada 9 Mac lalu,” katanya.

Catatan atlet muda negara itu meleburkan rekod lama, 11.50s milik G Shanti yang dicipta di kejohanan pra Sukan SEA pada 1993.

“Saya berharap rakyat Malaysia sentiasa menyokong saya dan atlet negara lain dalam misi mengukir nama Malaysia di peringkat dunia,” katanya ketika ditemui di Majlis Sukan Negara, baru-baru ini.

Disiarkan pada: August 28, 2017 @ 2:23pm
d