geny

Selepas The International 2017

Oleh Hazril Md Nor

Perubahan radikal terhadap jendela perpindahan dalam Dota 2 boleh disaksikan sejurus selesai The International 2017, kejohanan dunia permainan itu yang diadakan setiap tahun.

Kebiasaannya, pasukan yang mempamerkan prestasi kurang memuaskan akan menggugurkan pemain dan mencari pengganti yang berstatus ‘free agent’.

OG Dota 2

Pasukan dari Eropah ini sentiasa mempamerkan prestasi mengagumkan di kejohanan besar seperti Major. Namun, mereka gagal menyinar dalam kejohanan dunia The International.

Melihat kepada ahli pasukannya yang masih muda, ia bukanlah suatu kejutan apabila pemain tengah, Ana memilih untuk berhenti seketika bagi menyambung pengajiannya di Australia.

Terdahulu, OG menggantikan posisi tengah yang dulunya dipegang Miracle dengan Ana. Kemasukan pemain berusia 17 tahun itu melayakkan OG menawan dua kejohanan, The Boston Major dan The Kiev Major.

Bagaimanapun, kegagalan di The International jelas menampakkan kelemahan OG yang perlukan perubahan. Mereka kemudian merekrut bekas ahli Planet Odd, Roman Fominok bagi menghadapi kejohanan akan datang.

Fnatic

Skuad Dota 2 Asia Tenggara ini pernah mendominasi arena The International, tahun lalu dengan kedudukan di tempat keempat.

Bagaimanapun, prestasi mereka seolah-olah tidak konsisten selepas kehilangan dua permata, Midone dan Adam Shah yang memilih haluan masing-masing. Midone bersama Secret manakala Adam selesa dengan Fire Dragoon.

Jika dinilai prestasi mereka di The International, baru-baru ini, Fnatic tidak begitu konsisten dan kalah di peringkat kumpulan. Nasib mereka seterusnya tidak begitu baik apabila terpaksa akur dengan penyingkiran awal daripada kejohanan dunia itu.

Fnatic kemudiannya mengambil tiga ahli baru, Xcalibur, Eternal Envy dan Pieliedie bagi menggantikan Ahjit, QO dan Febby. Kemasukan ahli baru ini pastinya menandakan perubahan baru dalam rentak permainan mereka.

WG Unity

Pasukan Malaysia ini boleh dikatakan cukup kuat dengan menampilkan lima anak Malaysia, Ahjit, Nana, Ben, Ahfu dan xNova.

Namun selepas beberapa ketika, mereka memilih untuk meninggalkan WG dan perjalanan mereka juga cukup baik apabila Ahfu diterima untuk LFY, Nana ke Mineski dan Ahjit ke Fnatic.

Selepas dua lagi pemain tidak berapa aktif, WG membuat kejutan dengan merekrut ahli baru yang bukan dari negara ini.

Meracle dari Singapura akan bermain sebagai posisi 1, Feero (Jordan) sebagai posisi 2, Velo (Australia) sebagai posisi 3, Sqreen (Russia) sebagai kapten dan posisi 4. Tidak ketinggalan untuk melengkapkan skuad itu ialah Flysolo yang berasal dari Filipina di posisi 5.

Disiarkan pada: September 7, 2017 @ 6:32am
d