geny

Impian Azam Masri

Oleh Fatin Farhana Japre

Meskipun tewas dalam acara kegemarannya 400 meter (m) lelaki akhir pada temasya Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 di Stadium Nasional Bukit Jalil, itu bukan alasan untuk Muhammad Azam Masri, 21, berputus asa.

Sebaliknya, anak kelahiran Johor ini menyimpan hasrat melayakkan diri beraksi di Sukan Olimpik 2020 di Tokyo, Jepun.

Mencungkil kisah pembabitannya, pelari 400m ini dianggap sebagai ‘jaguh kampung’ kerana sering mewakili daerah sejak sekolah rendah dan bakatnya mula digilap apabila terpilih menjalani ujian kecergasan dan masa di negeri Melaka pada usia 14 tahun.

“Saya lulus ujian itu dan mula bernaung sebagai atlet Melaka seawal usia 15 tahun serta berpindah ke Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Kota bagi memudahkan sesi latihan setiap hari.

“Perjalanan hidup saya sebagai atlet bermula di sini. Saya diajar teknik larian yang betul untuk menjadi pelari terbaik.

“Selepas tiga bulan berlatih bersungguh-sungguh, saya dihantar mewakili Melaka untuk beraksi di Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Malaysia (MSSM) Perak bagi acara 400m kategori bawah 15 tahun dan berjaya meraih pingat emas pertama dalam acara ini.

“Itu antara pengalaman terbaik saya yang tidak mungkin dilupakan sepanjang hayat,” kata anak kedua daripada empat beradik ini.

Katanya lagi, sepanjang tahun itu dia dihantar menyertai banyak pertandingan terbuka bagi memberi peluang merasai pengalaman bersaing dengan atlet negara.

“Dari situ, saya dapat pengalaman bersaing dengan atlet negara lain. Walaupun tidak menang tetapi pengalaman itu mengajar saya banyak perkara untuk menjadi seorang atlet negara yang berbakat.

“Nama saya mula ‘disebut-sebut’ ketika MSSM Pahang 2013 kerana berjaya membolot empat pingat emas daripada lima acara yang disertai iaitu acara 100m, 400m, 4x100m, 4x400m dan 200m (gangsa) bagi kategori individu bawah 17 tahun.

“Disebabkan pencapaian terbaik itu, saya dipilih mewakili negara ke Hanoi, Vietnam bagi kejohanan ASEAN School Games (ASG) dan World Youth Championship di Donetsk, Ukraine selama sebulan.

“Di kejohanan ASG, saya berjaya meraih pingat emas bagi acara 4x400m dan saat itu ibarat impian menjadi kenyataan buat saya dipilih mewakili negara kerana ia memang impian semua atlet negara.

“Ketika menyertai World Youth Championship pula, saya tewas dalam acara 400m tetapi menduduki tangga ke-45 dunia. Itu sudah dikira pencapaian terbaik bagi diri saya,” katanya yang dilatih Mohd Poad Kassim.

Penuntut jurusan Ijazah Sarjana Muda Komunikasi Massa di Universiti Putra Malaysia ini berkata, sebaik saja pulang dari Ukraine, dia menghadapi situasi yang sukar kerana harus fokus pada peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) manakala jurulatihnya pula berpindah ke Sekolah Sukan Tunku Mahkota Ismail (SSTMI), Bandar Penawar.

“Selama tiga bulan saya tidak menjalani latihan kerana ketiadaan jurulatih dan hanya melakukan persiapan untuk menduduki SPM.

“Namun selepas tamat SPM, saya ditawarkan memasuki tingkatan enam di SSTMI selama dua tahun dan saya menerima tawaran itu memandangkan jurulatih Mohd Poad Kassim berada di sana.

“Memandangkan saya sudah menjadi atlet Malaysia, saya dihantar mewakili negara ke Sukan SEA Singapura buat kali pertama selain berjaya mencipta rekod masa peribadi terbaik dengan catatan masa 46.90 saat di pertandingan Open Philippines.

“Saya menewaskan pelari Filipina dengan beza masa satu detik saja iaitu 46.89 saat,” katanya.

Menerusi catatan rekod masa peribadi terbaiknya itu, Muhammad Azam Masri tersenarai untuk melayakkan diri beraksi di Sukan SEA Kuala Lumpur dalam acara 400m lelaki.

Hari berganti tahun, Muhammad Azam Masri sudah menamatkan tingkatan enam dan ditawarkan menyambung pengajian di Universiti Putra Malaysia.

“Selama sebulan saya tiada jurulatih, jadi saya ambil keputusan tangguh pengajian selama setahun untuk menjalani latihan dengan jurulatih Mohd Poad Kassim dan ke Afrika selama dua bulan demi memberi aksi terbaik di Sukan SEA KL.

“Bagaimanapun rezeki tidak menyebelahi apabila tewas dalam acara kegemaran saya di negara sendiri.

“Namun saya tetap berasa bangga dapat mewakili negara dan berterima kasih kepada rakyat Malaysia yang tidak jemu menyokong saya selama ini.

“Tidak lupa juga kepada jurulatih, rakan seperjuangan dan keluarga yang sentiasa berada di belakang saya.

“Impian saya untuk menjadi atlet Malaysia sudah termakbul, jadi sekarang saya mahu fokus untuk memenangi sebanyak mungkin pingat emas untuk negara.

“Oleh itu, harapan saya amat tinggi untuk melayakkan diri beraksi di Sukan Olimpik 2020 di Tokyo, Jepun pula jika ada rezeki,” katanya.

Disiarkan pada: September 11, 2017 @ 3:08pm
d