geny

Asah bakat terpendam

Oleh Fatin Farhana Japre

Kehadiran lebih 1,000 peminat papan luncur dan penggemar muzik di House of Vans Kuala Lumpur 2017 membuktikan minat dalam sukan ekstrem ini masih tinggi terutama dalam kalangan belia tempatan.

Program sehari berlangsung di APW Bangsar, Kuala Lumpur pada hujung minggu lalu menjadi tumpuan belia dari seluruh Malaysia termasuk Sabah dan Sarawak untuk mencurahkan kreativiti masing-masing menerusi empat elemen utama Vans iaitu muzik, sukan ekstrem, seni dan gaya hidup jalanan.

Penolong pengurus pemasaran Vans Malaysia Munir Muhammad, 29, berkata pelbagai aktiviti dan pertandingan menarik disediakan untuk hiburan pengunjung.

“Jenama Vans sudah memasuki 51 tahun, jadi sempena itu kami cuba memasukkan elemen ‘old skool’ dalam semua aktiviti yang dilaksanakan hari ini.

“Antara aktiviti yang dianjurkan ialah Embroidery Workshop, Silk Screen Workshop, Mini games, Authentic Exhibition, Musicians Wanted Final, Stoop Series Competition dan House of Vans Live Music.

“Aktiviti Embroidery Shop, kami memberi peluang kepada pengunjung merasai pengalaman menjahit kasut Vans dengan bantuan tenaga pengajar profesional, Anni Tai.

“Di Silk Screen Workshop, Dirty Donuts mendedahkan teknik Silk Screen menggunakan medium percetakan lama secara manual dan orang ramai boleh mencetak beg kain Vans masing-masing secara percuma.

“Bukan itu saja, peminat kasut dan papan luncur berpeluang menyaksikan pameran koleksi kasut Vans serta papan luncur dari era 70-an sehingga kini milik peminat tegar Vans, Jurgen Blumlein yang dijemput khas dari Berlin di zon Authentic Exhibition.

“Selain itu, Jurgen juga turut berkongsi sejarah papan luncur dan Vans dengan pengunjung yang hadir.

“Di zon Musician Wanted Final pula menyaksikan tiga kumpulan band tempatan iaitu Budak Nakal Hujung Simpang, I Lost The Plot dan Lukarts berentap untuk mewakili negara melakukan persembahan di House of Vans Guongzhou, China pada Oktober depan.

“Kumpulan band Lukarts dinobat sebagai juara Musician Wanted Malaysia dan mewakili negara melakukan persembahan di peringkat antarabangsa.

“Tidak ketinggalan, pertandingan papan luncur Stoop Series yang berkonsepkan kaki lima turut diadakan dengan penyertaan 60 peserta dari seluruh negara,” katanya.

Menurutnya, jelajah House of Vans Kuala Lumpur 2017 ini menjadi platform kepada remaja untuk mencurahkan kreativiti dan mengasah bakat terpendam masing-masing.

“Pihak kami berharap menerusi program ini anak muda mendapat input pengalaman yang berbeza untuk mengetengahkan bakat mereka dan bergiat aktif dalam sukan ekstrem demi memartabatkan sukan papan luncur di negara kita,” katanya.

Seramai 500 peminat bertuah Vans dihiburkan dengan persembahan penutup oleh kumpulan Hujan, Dirgahayu dan Zamaera.

Pengunjung, Muhammad Amirul Syafiq Fauzir (Iyoi), 19, berkata dia meminati seni menconteng kasut dan sanggup datang dari Puchong untuk menyaksikan pameran koleksi kasut Jurgen Blumlein dan beberapa aktiviti lain bersama rakannya.

“Saya tiba di sini dari tengah hari dan akan ‘berkampung’ sehingga waktu malam untuk menyaksikan persembahan kumpulan Hujan secara langsung.

“Secara keseluruhan, program ini sangat bermanfaat untuk anak muda seperti saya kerana kami diberi peluang belajar sesuatu yang baru dan mengetengahkan bakat sendiri. Oleh itu, saya berharap pihak penganjur akan memperbanyakkan lagi acara besar seperti ini,” katanya.

House of Vans Asia Tour yang memasuki tahun kedua ini akan meneruskan siri jelajahnya ke Seoul, Shanghai, Hong Kong dan lokasi terakhir di Guongzhou pada Oktober depan.

Disiarkan pada: September 16, 2017 @ 12:26am
d