geny

Tekad dua sahabat

Oleh Fatin Farhana Japre

Kehebatan anak muda Bumiputera dalam dunia automotif kini semakin menonjol, malah sebaris dengan kaum lain yang bertapak lama dalam bidang berkenaan sejak sekian lama.

Rahsia kejayaan mereka perlu dipaparkan untuk menyuntik semangat kelompok lain bagi merebut peluang di pasaran automotif tempatan.

Kali ini Gen Y kongsikan mengenai kisah dua sahabat, Muhammad Nizar Abdullah, 29, dan Riza Iskandar Abdul Rahman, 29, mengharungi dunia automotif dengan mengusahakan bengkel mengubah suai dan mengecat kenderaan khusus untuk model Honda Civic.

Pada mulanya, dua anak muda ini bekerja makan gaji, namun pertemuan menerusi kelab kereta Honda Civic menjadi titik permulaan buat mereka untuk memanfaatkan kemahiran yang ada sejak dua tahun lalu.

Muhammad Nizar atau lebih dikenali sebagai KJ dalam kalangan peminat kereta berkata, melihat ramai anak muda meminati model Honda Civic mencetuskan idea menjual alat ganti secara dalam talian.

“Segalanya bermula apabila alat ganti yang dijual memerlukan khidmat pemasangan pada kenderaan pelanggan, jadi kami berpakat menjadikan pokok besar berhampiran rumah saya di Desa Tun Razak sebagai ‘bengkel sementara’.

“Ketika itu, saya menjawat jawatan sebagai eksekutif korporat di sebuah pusat beli-belah terkemuka di ibu negara manakala Is (Riza Iskandar) bekerja di bahagian jualan sistem keselamatan di Bandar Tasik Selatan.

“Disebabkan tuntutan kerjaya, kami melakukan servis pemasangan secara sambilan selepas waktu bekerja dan hujung minggu di ‘bengkel bawah pokok’.

“Kebetulan seorang rakan saya mempunyai bengkel mengecat kenderaan di Bandar Tun Razak dan kami menumpang bengkelnya buat sementara waktu memandangkan masih mengumpul modal untuk menyewa bengkel sendiri.

“Malah kami juga nekad berhenti kerja memandangkan tidak cukup masa menyiapkan kereta pelanggan dengan tenaga kami berdua kerana belum mampu menggaji pekerja,” katanya.

Kata Riza Iskandar atau lebih mesra disapa Is pula, hampir setahun menumpang di bengkel rakan, mereka membuat keputusan menyewa lot kedai di Kampung Cheras Baru untuk dijadikan bengkel kerana jumlah kenderaan pelanggan yang semakin banyak.

Ini kerana bengkel mereka bukan saja terkenal menjual alat ganti kenderaan yang diimport dari China dan Thailand malah turut menyediakan servis mengubah suai, pemasangan alat ganti, ketuk dan mengecat kenderaan.

“Kami terpaksa pindah dari bengkel rakan kerana dalam satu-satu masa hanya tiga kenderaan saja boleh ditempatkan dalam bengkel. Jadi kami sedar perlu berpindah kerana pelanggan lebih ramai.

“Berbekalkan modal hasil simpanan bersama sebanyak RM30,000, kami berpindah ke sini pada awal tahun lalu.

“Kini kami lebih selesa bekerja di bengkel sendiri yang dikenali dengan nama RRR Garage dan lebih enam kenderaan boleh dimuatkan dalam satu masa.

“Persekitaran yang lebih luas bukan saja memudahkan kami malah memberi keselesaan kepada pelanggan yang datang menghantar kereta dari seluruh Malaysia seperti Johor, Kelantan dan Terengganu.

“Walaupun berjaya membuka bengkel sendiri, kami tetap melakukan kerja pemasangan dan beberapa servis lain kerana tidak mahu bergantung harap tenaga pekerja sepenuhnya,” katanya yang kini mampu menggaji enam pekerja.

Katanya, kemahiran mengubah suai dan mengecat yang dimiliki digilap sendiri menerusi minat ubah suai kenderaan masing-masing ketika mula memiliki kereta sendiri.

“Awalnya kami sekadar mengubah suai kereta sendiri tetapi bila berkumpul dengan ahli kelab kereta, mereka berminat dan meminta kami mengubah suai kenderaan mereka pula.

“Secara jujurnya, kami pun tak sangka daripada minat boleh bertukar menjadi profesion tetap selain meraih pendapatan lumayan setiap bulan.

“Keutamaan kami adalah beri hasil yang terbaik dan bermutu kepada pelanggan,” katanya.

Kata KJ, mereka sangat menjaga kualiti kerja dan mementingkan kepuasan pelanggan. Hal ini menyebabkan servis dan nama bengkel mereka menjadi ‘buah mulut’ dalam kalangan pemilik kereta Honda Civic.

“Bagi saya, kualiti dan kekemasan sangat penting supaya pelanggan kembali mencari bengkel kami.

“Setiap kereta yang dihantar boleh disiapkan paling cepat dalam masa tiga hari dan paling lambat dalam masa dua minggu bergantung jenis modifikasi.

“Kami terpaksa berkorban banyak perkara terutama masa bersama keluarga demi mencari sesuap nasi dengan menghabiskan masa di bengkel ini lebih 10 jam setiap hari dan tiada cuti.

“Berkat kesabaran dan tidak mudah berputus asa, kini dalam masa sebulan kami menerima lebih 40 kereta Honda Civic untuk diubah suai.

“Malah ada pelanggan kami sanggup melaburkan RM70,000 untuk mengubah suai kenderaan dari rupa ‘standard’ menjadi ranggi dengan menggunakan barang tulen dari Jepun.

“Hanya pemilik kereta Honda Civic yang memahami ‘kegilaan’ ini,” katanya.

Ketika ditanya cabaran yang paling hebat dalam fasa membangunkan nama RRR Garage, Is berkata mereka tidak mungkin melupakan saat menumpang di bengkel rakan mereka.

“Sepanjang menumpang di bengkel rakan, pelbagai cabaran ditempuhi antaranya hinaan daripada pemilik bengkel ‘otai’ kerana kami menumpang dan selama setahun kami tidak mengambil gaji sendiri semata-mata untuk mengumpul modal.

“Memang perit tetapi kami kuatkan semangat dan hari ini kami berjaya buktikan setiap kesabaran ada pulangan yang tidak diduga daripada-Nya,” katanya.

Kesusahan yang dialami dua anak muda ini untuk mengusahakan bengkel sendiri menyebabkan mereka menyimpan hasrat menjadi pembekal alat ganti terbesar bagi membantu peniaga kecil di seluruh negara.

“Kami pernah rasa susah dan kesakitan itu, jadi kami mahu membantu peniaga lain khususnya Bumiputera untuk bertapak dalam bidang ini.

“Selain itu dalam jangka masa dua bulan lagi RRR Garage akan berpindah ke bengkel yang lebih besar di Cheras untuk menampung lebih banyak kereta dan bakal membuka cawangan kedua di Sungai Petani, Kedah.

“Kami berharap perniagaan ini terus berkembang maju dan berpeluang memperluaskan cawangan RRR Garage di seluruh Malaysia,” katanya yang turut menyediakan perkhidmatan pengambilan dan penghantaran kereta pelanggan.

Disiarkan pada: September 25, 2017 @ 3:15pm
d