geny

Kesungguhan trio muda

Oleh Redzuan Muharam

Bersekolah di kawasan pedalaman dengan akses Internet terhad bukan halangan untuk tiga pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dalat, Sarawak memperoleh kemenangan dalam Pertandingan Robotik Kebangsaan (NRC ) 2017.

Sebaliknya, Idzwandy Hisham, 13, Alven Yong, 14, dan Yeo Ewe Wen, 15, membuktikan mereka juga mampu bersaing dengan pelajar lain sekali gus mewakili negara ke World Robot Olympiad (WRO) 2017 di Costa Rica, Amerika Tengah pada November depan.

Ketiga-tiga mereka mara ke kejohanan itu selepas menjuarai kategori Regular Pro (Menengah Rendah) peringkat akhir di Hotel Oriental Crystal, baru-baru ini menerusi ciptaan robot yang membantu sesebuah syarikat mencapai karbon sifar.

Bercerita lanjut, Idzwandy berkata, perjalanannya sebelum menyertai pertandingan itu tidak mudah lebih-lebih lagi kerana menetap dan bersekolah di kawasan pedalaman.

Namun, disebabkan minat, dia dan rakan sepasukan ketepikannya demi membuktikan pelajar kawasan pedalaman juga mampu menghasilkan reka cipta yang menarik.

“Rumah saya agak jauh dan perlu menyeberangi sungai menaiki perahu sebelum melalui jalan darat sejauh lima kilometer (km) untuk ke sekolah.

“Begitulah rutin harian dan setiap kali tamat sesi persekolahan, saya dan rakan sepasukan akan ke makmal robotik untuk membina, memasang dan menguji robot sehingga stabil.

“Selalunya, kami berada di situ sehingga petang sebelum pulang ke rumah masing-masing dan tidak sangka, usaha kami selama ini berbaloi apabila memperoleh kemenangan dan peluang bertanding di peringkat dunia ,” katanya.

Rakan sepasukannya, Yeo merangkap ketua kumpulan berkata, banyak cabaran dihadapi mereka untuk sampai ke tahap itu.

Bagaimanapun, kemenangan di peringkat kebangsaan memberi semangat untuknya dan rakan sepasukan membuktikan kemampuan mereka walaupun dari sekolah pedalaman.

“Selepas siapkan kerja sekolah, kami akan ke makmal robotik untuk menguji dan memperbaiki reka cipta yang dihasilkan.

“Rutin itu pada Isnin hingga Jumaat manakala Sabtu lebih awal iaitu dari jam 8 pagi hinga 3 petang.

“Ahad baru kami berpeluang rehat. Walaupun penat, kami seronok dan lebih teruja selepas terpilih ke peringkat dunia,” katanya.

Guru merangkap mentor pasukan SMK Dalat Hairul Goh berkata dia berbangga dengan pencapaian pelajarnya yang membuat persediaan sejak Januari lalu bagi menyertai pertandingan berkenaan.

“Dulu, pasukan kami hanya berjaya sampai ke peringkat negeri, namun rezeki berpihak kepada kami kali ini menerusi kejayaan ke WRO 2017.

“Antara cabaran kami adalah kekurangan material dan mujurlah sekolah berhampiran membantu meminjamkan peralatan.

“Untuk mendapat akses Internet pula, kami perlu keluar ke Mukah yang kira-kira 40km dari sekolah, namun ia berbaloi dan di tahap ini, tiada lagi yang saya impikan melainkan kemenangan mereka dalam kejohanan itu nanti,” katanya.

Disiarkan pada: October 3, 2017 @ 7:18am
d