geny

Dek terlalu minat!

Oleh Redzuan Muharam

Meredah hujan dan mencari dalam timbunan sampah antara pengalaman tidak dapat dilupakan Richard Thias Anak Changgan sejak mengumpul barangan daripada jenama minuman Milo tiga tahun lalu.

Namun, Richard tidak menjadikannya penghalang untuka terus mengumpul sebaliknya pemuda kelahiran Sarikei , Sarawak itu masih setia menjadi pengumpul sehingga ke hari ini.

Malah, Richard berkata, jenama itu cukup dekat dengan dirinya sejak zaman kanak-kanak cuma sukar mendapatkannya kerana tinggal jauh dari bandar ketika itu.

“Setiap kali lagu iklan Milo dimainkan di televisyen, saya teruja, tetapi tidak mampu mendapatkan barangannya .

“Namun, segalanya berubah selepas saya menemui banyak tin minuman Milo di bawah runtuhan kayu dan tinggalan tapak rumah panjang.

“Kerana terlalu minat, saya mengutip tin minuman berkenaan dan bermula dari situlah bergelar pengumpul barangan Milo,” kata guru di Sekolah Kebangsaan (SK) Penghulu Andin, Sarikei.

Menurut Richard, sehingga kini dia mempunyai kira-kira 500 jenis koleksi barangan Milo terdiri daripada tin minuman, kole , cawan plastik, poster dan jam dinding.

Richard berkata, sebahagian koleksinya sejak 1960 dan ada juga edisi terhad sempena Sukan Komanwel 1998.

“Antara koleksi kesayangan saya adalah set Milo Sukan Komanwel Kuala Lumpur 1998 dan masih memburu barangan lain yang berkaitan temasya sukan berkenaaan.

“Sebagai pengumpul, saya cukup menitikberatkan penjagaan barangan berkenaan dan sanggup menyimpan di dalam bingkai untuk kertas dan membalut dengan plastik lutsinar selain menyapu minyak bagi yang mudah pecah serta berkarat.

“Bagi barangan lain seperti kole dan bekas air pula saya lebih suka simpan serta susun di rak dalam satu bilik yang dikhaskan menyimpan semua koleksi berkenaan,” katanya.

Richard berkata, buat masa ini, dia tidak terfikir untuk menjual koleksi kepunyaannya walaupun ada rakan yang berminat untuk membeli.

Katanya, sebagai pengumpul, berat untuknya melepaskan koleksi yang sekian lama berada di dalam simpanan.

“Saya lebih suka berkongsi koleksi peribadi dengan memuat naik gambar di laman Facebook dan aplikasi WhatsApp berbanding menjualnya kerana ia bukan tujuan sebenar dalam jiwa pengumpul seperti saya.

“Biarlah barangan itu kekal di dalam simpanan saya supaya dapat diwarisi anak kelak dan jika ada lebihan pun, saya lebih suka bertukar dengan rakan pengumpul atau bagi secara ikhlas kepada yang ingin menyimpannya.

“Senang cerita, selagi Milo wujud, selagi itulah saya akan teruskan perjuangan sebagai pengumpul tegar kerana minat yang sudah tertanam dalam diri,” katanya.

Disiarkan pada: October 13, 2017 @ 9:57am
d