geny

Amatur? jangan risau

Oleh Hazril Md Nor

Santai, seronok main game dan lepak bersama kawan. Itu antara kelebihan permainan mudah alih yang boleh diakses generasi muda hampir di mana saja tanpa perlu mempunyai modal yang tinggi hanya untuk membeli sebuah komputer di rumah.

Oleh itu, tidak hairanlah jika permainan dalam kelompok itu iaitu Mobile Legends: Bang Bang mencatatkan 50 juta muat turun di Playstore.

Penulis sendiri merasai keseronokan bermain ‘game’ ini dan tidak hairan jika terdapat rakan yang menaruh minat namun tidak tahu cara bermain game ini dengan lebih baik.

Meskipun ada tutorial dan sebagainya, mungkin ada yang masih tidak faham bagaimana setiap karakter itu dimainkan. Kali ini penulis akan kupas isu ini daripada perspektif yang lebih meluas.

Tip 1: Pilih kelas kamu

Setiap karakter dimainkan itu terdiri daripada kelas (peranan) tersendiri. Lima kelas disediakan iaitu pemanah, pelindung, pembunuh hendap, ahli sihir dan pahlawan.

Bagi kamu yang tidak biasa dengan Dota 2 dan League of Legends, peranan ahli sihir yang paling sesuai dimainkan. Pertamanya, set kuasa mereka sangat mudah difahami dan ia juga mempunyai jangka masa yang singkat untuk digunakan semula.

Kedua, ahli sihir berupaya melakukan serangan yang berkesan tanpa perlu bersemuka dengan pihak lawan. Oleh itu, cuba fahami ketiga-tiga kuasa diberikan dan belajar menggunakannya ke atas pihak lawan dari jarak jauh tanpa meletakkan karakter dalam bahaya kerana kelas ini mempunyai jumlah nyawa yang sangat sikit.

Bagi kamu yang pantas dari segi refleks, gunakan peranan pemanah sebagai permulaan. Kamu hanya perlu mengawal karakter untuk memulakan serangan dengan teknik tembak dan lari. Cuba belajar mengawal karakter untuk menembak sambil jari kamu menggerakkan posisi karakter.

Ketiga, ‘marksman’ seperti Layla adalah amat sesuai untuk amatur. Kuasanya mudah difahami dan kuasa besar berupa tembakan laser arus lurus menggambarkan kehebatan hero ini yang sesuai dimainkan semua.

Tip 2: Sesuaikan diri dengan mod biasa

Sesiapa pun yang masih bergelar amatur, pastinya ingin mod yang seronok dimainkan sesuai dengan tahap kemahiran. Oleh itu, cuba belajar daripada awal dengan bermain mod lawan Kecerdasan Artifisial (AI).

Mod ini membolehkan kamu berlatih bermain setiap hero dengan keupayaan sendiri. Tetapkan tahap kesukaran AI dan gunakan hero yang sama berulang kali agar kamu benar-benar faham mekanisme dan set kuasa hero itu.

Selepas mahir menggunakan sekurang-kurangnya tiga hero, cabar diri bermain mod Ranked tapi harusnya berganding bahu bersama rakan. Ia memudahkan diri kamu untuk berkomunikasi selain memahami objektif permainan yang mementingkan kerjasama sepasukan.

Mod ini lebih sukar kerana kamu akan digandingkan dengan musuh yang juga pemain lain di rantau Asia Tenggara. Sudah tentunya keupayaan mereka berbeza jika dibandingkan dengan AI tadi.

Tip 3: Perhatikan posisi

Dalam permainan lima lawan lima, bincangkan bersama rakan mengenai strategi perlawanan. Misalnya, kamu boleh memilih laluan tengah untuk karakter pemanah. Ini kerana mereka sesuai untuk berada di tengah yang agak kurang risiko untuk berdepan dengan kekalahan.

Selain itu, perhatikan serangan hendap dari kawasan semak samun di sekitar sungai. Pihak lawan berupaya menyorok di dalam kawasan itu. Jadi sentiasa beringat untuk berada dekat dengan menara pertahanan dan hanya ‘push’ jika kebanyakan musuh berada di laluan lain.

Jika kamu memainkan peranan ahli sihir, pastikan jarak kamu dan pihak lawan agak jauh untuk gunakan kuasa tanpa berbalas kecederaan. Selain itu, tunggu waktu sesuai untuk gunakan kuasa besar kamu. Sebagai contoh, simpan kuasa kamu ketika bar merah dan gunakan kuasa besar apabila musuh berada dekat antara satu sama lain.

Bagi peranan pelindung pula, posisi kamu adalah di depan untuk menadah segala serangan. Pembunuh hendap pula perlu menunggu waktu sesuai untuk masuk ke dalam pertarungan iaitu pada ketika semua musuh mempunyai jumlah nyawa kurang dari separuh.

Disiarkan pada: October 19, 2017 @ 5:29am
d