geny

Uniknya cawan kertas!

Oleh Redzuan Muharam

Cawan kertas sinonim sebagai bekas minuman pakai buang, namun kerana minat, Siti Rohani Abd Hamid mengumpulnya sebagai koleksi peribadi.

Siti Rohani berkata, minat itu bermula sejak dua tahun lalu dan masih kekal sehingga sekarang kerana keistimewaan hobi berkenaan yang tidak memaksanya berhabis duit.

Malah, Siti Rohani mengakui sanggup ke pasar raya berhampiran rumah untuk mendapatkan cawan kertas yang biasanya diagihkan pembantu jualan kepada pengunjung.

“Setiap kali ke pasar raya, pasti ada pembantu jualan yang menawarkan minuman untuk dirasa dan peluang itu saya gunakan bagi mendapatkan cawan kertas berkenaan.

“Bagi saya, cawan kertas itu ada yang cantik dan sayang pula jika dibuang begitu saja.

“Lagipun, ia boleh dijadikan hiasan di rumah dan itu antara yang mendorong untuk mengumpulnya ,” katanya.

Siti Rohani berkata, pada mulanya, keluarga memandang pelik hobi itu namun kini memahami dirinya yang obses mengumpul cawan kertas.

Menurut Siti Rohani, bukan saja keluarga malah rakan terdekat turut faham dan akan menghadiahkannya cawan yang dibeli di luar negara atau mana-mana tempat dilawati.

“Selalunya, saya meminta sendiri cawan kertas yang diinginkan daripada pembantu jualan di pasar raya.

“Kebiasaannya, mereka tiada masalah untuk memberi secara percuma namun ada juga yang tidak dapat membantu kerana sebab tertentu.

“Sebagai alternatif, saya akan bertukar cawan kertas yang ada dalam simpanan dengan kenalan di Facebook yang berkongsi minat sama ,” katanya.

Menurut Siti Rohani, buat masa ini, dia belum terfikir berhenti menjadi peminat dan pengumpul cawan kertas kerana puas melakukan hobi itu.

“Saya tahu ada yang menganggap hobi ini sia-sia kerana bagi mereka, cawan kertas hanyalah sampah dan tidak berharga.

“Namun, sebagai pengumpul, cawan kertas cukup bermakna dan saya puas setiap kali berjaya menambah koleksi yang ada,” katanya.

Disiarkan pada: October 20, 2017 @ 4:20am
d