geny

Tauke muda raih RM16.7j

Oleh Nor Hanisah Kamaruzaman

Kehidupan bergelar penuntut universiti agak mencabar terutamanya jika tidak mendapat bantuan kewangan daripada ibu bapa mahupun pinjaman pendidikan.

Itu yang dirasai gadis muda di United Kingdom, Makaela Richardson, 21, selepas dia nekad untuk menyambung pengajian di Universiti Greenwich, London.

Sebelum itu, Makaela sepatutnya menyambung pelajaran di peringkat ijazah bagi kursus undang-undang namun menukar kepada pengajian perniagaan kerana menyedari dia cenderung dalam bidang keusahawan.

Akibat mengingkari permintaan ibu bapanya, Makaela terpaksa melalui kehidupan yang agak mencabar dengan kos sara hidup tinggi di kota London.

Ketika itu, Makaela mula sedar perbelanjaan dan keperluan asas untuk penuntut universiti agak mahal dan sukar untuk mendapatkan barangan dengan harga berpatutan.

Melalui detik sukar itu mencetuskan idea bernas bagi anak muda kelahiran Bermuda itu.

Pada April 2016, Makaela melancarkan perkhidmatan ʽFree the Fresherʼ yang menyalurkan semua keperluan asas penuntut universiti dan dihantar terus ke pintu kediaman mereka.

Perkhidmatan menerusi langganan itu menghantar tiga kotak keperluan asas kepada penuntut seperti keperluan alat tulis, peralatan dan kelengkapan dapur serta barangan untuk bilik tidur.

Menawarkan beberapa pakej berbeza bermula RM278 (£50) dan RM417 (£75), penuntut cuma perlu membayar sekali untuk setahun dan bukan sekadar menerima tiga kotak keperluan asas tapi juga promosi serta potongan eksklusif untuk beberapa jenama terkemuka seperti Nandoʼs, Amazon dan ASOS.

Inisiatif dan usaha Makaela untuk membantu memudahkan serta menjimatkan perbelanjaan penuntut universiti ternyata membuahkan hasil dan menerima maklum balas positif apabila menerima lebih 3,000 langganan selepas dua bulan pakej itu dilancarkan.

Pada penghujung 2016, Free the Fresher mempunyai 10,600 ahli dan kini ia mencatatkan sehingga 67,000 ahli yang terdiri daripada penuntut universiti sekitar UK.

Menurut Makaela, perniagaannya itu bermula dengan modal kecil yang dikumpul hasil kerja yang dilakukan ketika cuti musim panas.

Bagi mendapatkan modal permulaan sebanyak RM33,417 (£6,000), Makaela bekerja di jabatan sumber manusia di sebuah pejabat bermula jam 9 pagi hingga 5 petang dan menjadi pelayan restoran bermula jam 5 petang hingga 1 pagi.

Kini, syarikat Makaela bukan saja menghasilkan keuntungan memberangsangkan, dia turut berjaya mengupah lima kakitangan.

Dengan perolehan dijangka sekitar RM16.7 juta (£3 juta) pada tahun ini, Makaela merancang untuk membesarkan pasaran Free the Fresher.

Makaela ingin menguasai 80 peratus pasaran di seluruh UK untuk beberapa tahun akan datang selain menembusi pasaran global dan menawarkan perkhidmatan sama kepada penuntut universiti di seluruh dunia.

Usaha dan kejayaan Makaela bukan saja membuktikan usia bukan penghalang untuk berjaya, malah status sebagai penuntut tidak seharusnya dijadikan alasan untuk tidak memulakan perniagaan sendiri.

Disiarkan pada: October 24, 2017 @ 4:36am
d