geny

Ayuh bersarapan!

Oleh Redzuan Muharam

Pengambilan sarapan amat penting dalam membekalkan tenaga untuk seseorang menjalankan aktiviti sepanjang hari dengan cergas dan produktif.

Menyedari kepentingan itu, Sekretariat Sukarelawan Universiti Malaya (SEKRUM) dengan kerjasama Institut Onn Jaafar (IOJ) dan Yayasan Chow Kit (YCK) menganjurkan program ‘Jom Bekpes’ membabitkan 30 sukarelawan Universiti Malaya (UM).

Penolong Pendaftar Kanan di Bahagian Hal Ehwal Pelajar dan Alumni UM merangkap penasihat SEKRUM S .Ramlee Shamsuddin berkata, program itu bertujuan meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap pengambilan sarapan menerusi pengagihan juadah di beberapa kawasan sekitar Kuala Lumpur.

“Hidangan sarapan berkenaan diagihkan di empat lokasi iaitu Pusat Transit Gelandangan di Jalan Pahang, KL Crash Pad di Jalan Tuanku Abdul Rahman (TAR), Sekolah Bimbingan Jalinan Kasih (SBJK) dan Pusat Asuhan Kanak-Kanak (PAKK) di Jalan Chow Kit.

“Menariknya, semua hidangan itu disediakan sendiri oleh sukarelawan terbabit yang membuat persiapan seawal jam 4 pagi dan selain melakukan pengagihan, mereka turut melakukan aktiviti sampingan termasuk beramah mesra dengan penerima sumbangan.

“Diharap program ini dapat mengasah kemahiran insaniah sukarelawan berkenaan selain menarik minat lebih ramai penuntut menyertai aktiviti serupa bertepatan dengan aspirasi Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT),” katanya.

Penuntut tahun akhir di Fakulti Bahasa dan Linguistik UM, Muhammad Irsyad Zaini, 23, berkata, penyertaan sebagai sukarelawan dalam program berkenaan satu cara untuknya mendekati dan menyampaikan informasi bermanfaat kepada komuniti setempat.

“Program ini amat baik kerana memberi kesempatan kepada saya dan rakan lain menzahirkan rasa prihatin dan cakna terhadap isu kebajikan masyarakat.

“Malah, aktiviti sukarelawan sebegini wajar diteruskan dan seharusnya disertai golongan muda seperti mahasiswa yang masih bertenaga serta mempunyai masa terluang,” katanya.

Seorang lagi sukarelawan, Nur Zarifah Zailani, berkata, program Jom Bekpes wajar diadakan kerana dapat melatih mahasiswa untuk aktif dalam aktiviti sukarela selain peka dengan isu setempat.

“Satu peluang berharga buat saya kerana dapat turut serta dalam program Jom Bekpes kerana bukan selalu ada kesempatan untuk bersama dengan komuniti setempat.

“Menerusinya, saya dapat bekerjasama dengan rakan sukarelawan lain dalam mengagihkan bantuan selain mendidik masyarakat untuk mengetahui kepentingan sarapan yang adakalanya diabaikan kerana kesibukan aktiviti seharian,” katanya.

Disiarkan pada: November 1, 2017 @ 5:22am
d