geny

Bantu insan malang

Oleh Nor Hanisah Kamaruzaman

Generasi muda bukan saja aktif menakluki dunia menerusi bidang perniagaan tapi pada masa sama semakin ramai menghasilkan ciptaan yang mampu memberi impak pada dunia.

Meminati reka cipta sejak awal remaja, Easton LaChappellle, 21, membawa perubahan dengan memperkenalkan percetakan tiga dimensi prostetik (anggota badan palsu).

Pada usia 14 tahun, jurutera robot muda yang berasal dari Colorado, Amerika Syarikat itu mencipta tangan pertama menggunakan Lego, tali pancing dan tiub elektrik.

Menurut Easton, sifat ingin tahu yang tinggi mendorongnya untuk sentiasa meneroka lebih dalam dengan mempelajari mengenai anggota badan palsu menerusi Internet.

“Setiap kali selepas pulang dari sekolah saya akan belajar perkara yang tidak diajar di sekolah dengan melihat YouTube dan Skype.

“Ketika berumur 14 tahun, saya dapat idea daripada YouTube untuk hasilkan tangan robot yang dikawal menggunakan sarung tangan.

“Saya sangat teruja dan waktu itu saya hasilkan untuk suka-suka. Ia menjadi titik mula bagi saya mengembangkan tangan robot itu dengan mula menyusun Lego dan menggabungkannya dengan tiub elektrik serta tali pancing,” katanya.

Easton tidak menyangka bermula dengan idea tangan robot asas hasil usahanya membuahkan hasil.

“Hasil ciptaan itu mendorong saya untuk terus berkembang dan menghasilkan tangan robot lebih baik.

“Walaupun waktu itu tidak tahu mengenai anggota badan palsu, saya menghasilkan tangan robot penuh dari jari hingga bahu dan menyertai pameran sains serantau di Colorado.

“Projek itu membawa saya ke pameran sains antarabangsa dan meraih tempat kedua di dunia dalam kategori kejuruteraan,“ katanya.

Kejuaraan dunia itu turut menjadi titik permulaan baru bagi Easton apabila bertemu dengan seorang anak kecil.

“Saya bertemu dengan kanak-kanak perempuan berusia tujuh tahun yang menghampiri projek saya dan melihat dengan teliti.

“Dia menghayati hasil kerja saya lebih daripada kanak-kanak lain dan ketika itu saya sedar dia kehilangan tangan kanannya dan menggunakan tangan palsu,” katanya.

Katanya, ketika itu dia mula memahami mengenai anggota badan palsu dan turut membandingkan fungsi tangan palsu milik gadis kecil itu dengan yang dihasilkannya.

“Baru saya sedar kos pembedahan dan kos untuk tangan palsu menelan belanja sehingga puluhan ribu dolar atau boleh mencecah ratusan ribu dolar.

“Dengan kos yang mahal serta fungsi yang minimum, saya lihat hasil tangan robot yang saya hasilkan di bilik tidur mampu menawarkan lebih banyak fungsi dengan kos kurang 1,000 dolar,” katanya.

Itu menjadi titik mula dan membuka mata Easton untuk membantu lebih ramai golongan memerlukan dengan kos yang jauh lebih rendah.

Pada usia 17 tahun, Easton mengasaskan syarikat diberi nama Unlimited Tomorrow yang membangunkan konsep baru rangka luar (eksoskeleton) bagi membantu penderita paraplegik (lumpuh kedua-dua kaki) untuk berjalan semula.

Walaupun tidak menyambung pengajian di peringkat tinggi, anak muda ini yakin ia adalah pilihan yang tepat.

“Keputusan tidak sambung di peringkat kolej dan universiti adalah langkah yang betul kerana saya perlu teruskan jalan sudah dimulakan sejak zaman persekolahan.

“Dengan momentum, pengetahuan serta sumber yang ada saya yakin mampu teruskan. Saya bertuah sebab ibu bapa banyak memberi sokongan kerana saya fokus dan serius dalam perniagaan ini,” katanya.

Disiarkan pada: November 7, 2017 @ 11:16am
d