geny

Dedah berfikir kritis

Oleh Redzuan Muharam

Meskipun sudah menjejakkan kaki ke menara gading, 40 sukarelawan dari Kolej Kediaman Raja Dr Nazrin Shah, Universiti Malaya (UM) tidak lokek berkongsi pengalaman mereka bersama 30 murid terpilih Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) RRI Sungai Buloh, Selangor menerusi penganjuran Projek KALAM.

Program selama tujuh minggu itu dianjurkan untuk membantu pihak sekolah menyerlahkan bakat murid selain memberi pendedahan kepada mereka terhadap aktiviti ke arah berfikiran kritis.

Pengarah Projek KALAM Ramesh Sivasantharan berkata, pihaknya berterima kasih kepada Persatuan Alumni India UM yang memberi tajaan menjayakan program berkenaan, sekali gus memberi peluang kepada mereka untuk mendekati komuniti setempat.

“Objektif utama program ini adalah untuk membentuk sifat kepemimpinan cemerlang dan mencungkil bakat sedia ada dalam diri peserta.

“Pada masa sama, peluang ini juga digunakan untuk menanamkan sifat jati diri dalam kalangan peserta selain berkongsi pengalaman yang ada supaya mereka bersedia menghadapi cabaran lebih besar selepas tamat persekolahan nanti,” katanya.

Sukarelawan, Priyamalar Rakupathy, 20 berkata penganjuran program itu membuktikan mahasiswa universiti bersedia untuk memainkan peranan mereka dalam membantu masyarakat bermula dari kanak-kanak.

“Ini menunjukkan tanggungjawab pendidikan generasi akan datang sebenarnya perlu dipikul oleh setiap segmen masyarakat dan bukannya sekolah dan guru semata-mata,” katanya yang juga penuntut tahun kedua Fakulti Sains UM.

Seorang lagi sukarelawan, Dushsyant K Rajamohan, 20, gembira kerana dapat memberi motivasi dan inspirasi kepada murid di kawasan luar bandar menerusi aktiviti yang dijalankan.

“Saya percaya semua murid yang terpilih untuk mengikuti program ini mempunyai potensi untuk berjaya satu hari nanti.

“Cuma mereka perlu ada motivasi dan saya seronok dapat berkongsi pengalaman dengan murid berkenaan,” katanya.

Sementara itu, murid tahun lima SJKT RRI Sungai Buloh, Keerthika Vijayen, berkata dia gembira terpilih menyertai program berkenaan yang dianggap dapat membantunya meluaskan pengetahuan am dan menambah kenalan baru.

“Seronok sangat apabila dapat bertemu dengan penuntut UM yang saya anggap sebagai abang dan kakak serta idola kerana kejayaan mereka menyambung pengajian di universiti.

“Saya juga berharap dapat mengikut jejak langkah mereka kerana pelajaran amat penting untuk mengubah kehidupan seseorang ke arah lebih baik,” katanya.

Disiarkan pada: November 8, 2017 @ 1:02pm
d