geny

Cabaran vokalis perempuan

Oleh Shuhada Mansor

Lebih enam tahun bergelar vokalis band Beatburns, Maruxa Linda Lomoljo, 28, atau lebih mesra dipanggil Lynd mengakui berkarya dalam muzik indie ada cabaran tersendiri.

Bukan cuma disebabkan dia perempuan, ada beberapa hal lain yang perlu ditangani dengan profesional memandangkan band yang disertainya sudah bertapak lebih enam tahun.

“Beatburns adalah jenama kami sendiri. Jadi, hal kecil kami selesaikan dengan santai. Lagipun, setiap ahli kumpulan sudah macam keluarga sendiri. Sejauh mana kami pergi tetap ada cabaran, tapi sikap toleransi dan kerjasama jadi kunci utama. Apa lagi hanya saya satu-satunya perempuan dalam band, jadi kena pandai jaga diri,” katanya.

DICAP TIRU ARTIS LUAR

Menurut Lynd, kemampuan itu tidak terletak pada perbezaan jantina tetapi usaha masing-masing.

“Sebagai vokalis perempuan dalam band yang semuanya lelaki, dicap meniru artis luar (Hollywood) itu sudah biasa. Saya ambil secara positif dan buat yang terbaik apabila di atas pentas. Itu saja,” katanya.

Ada hal yang leceh membabitkan perempuan dan ada juga yang remeh membabitkan lelaki. Namun, kelima-lima anggota Beatburns menganggap ia asam garam dunia seni tidak kira dalam haluan indie atau arus perdana.

“Bagi saya, tak ada cabaran besar setakat ini cuma kadang-kadang kasihan juga kepada anggota kumpulan yang lain sebab terpaksa tunggu saya selesai ‘melaram’ sebelum buat persembahan. Kadang-kadang boleh ambil masa berjam-jam.

“Yang paling melecehkan bagi saya kalau datang bulan. Emosi boleh jadi berubah tapi kalau waktu itu kena pada masa mengadakan persembahan, saya terpaksa kuatkan diri. Mungkin ini saya kategorikan sebagai cabaran untuk vokalis perempuan. Apatah lagi kalau dalam perjalanan ke lokasi yang jauh,” katanya.

Dia menjelaskan setakat ini kira-kira 80 gig pernah disertai Beatburns di seluruh negara.

LAYAN KERENAH PEMINAT

Ditanya bagaimana dia melayan peminat yang ekstrem, Lynd berkata, walaupun ada ketika berasakan perlakuan mereka agak janggal ataupun permintaan yang unik, baginya dia perlu melayan mereka sebaik mungkin.

“Peminat dan pengikut muzik kami ada identiti sendiri. Disebabkan mereka, Beatburns masih relevan hingga ke hari ini. Pernah mereka minta baju yang saya pakai selepas persembahan. Walaupun ada yang menganggap itu aneh, tapi bagi saya tak terlintas hal negatif bahkan saya anggap mereka ‘comel’.

“Ada juga yang ramah dalam media sosial tapi apabila berjumpa ada antara mereka jadi malu. Hinggakan ada yang ditolak rakan sendiri sebab malu walhal nak bergambar dengan saya. Itu antara cerita lucu daripada peminat tak kiralah lelaki atau perempuan,” katanya.

Bagi anda yang mempunyai band sendiri tapi takut mengetengahkan diri, Lynd berkongsi pendapat, tidak akan ada pencapaian kalau tidak dimulakan dengan usaha.

“Contoh paling jelas seperti Yuna. Dia takkan berada di tempat sekarang kalau bukan atas usaha dan kesabarannya menghadapi cabaran. Tahu apa yang kita mahu dan perjuangkannya. Lupakan hal prejudis atau stereotaip. Teruskan langkah hingga berjaya,” katanya.

Disiarkan pada: November 13, 2017 @ 3:36pm
d