geny

Karya realistik Kohei

Oleh Nor Hanisah Kamaruzaman

Sekali pandang, hasil kerja tangan anak muda ini kelihatan seperti foto hitam putih. Namun, jangkaan penulis meleset kerana karya Kohei Ohmori, 23, adalah lukisan realistik.

Pelukis muda dari Jepun ini mencuri perhatian netizen di media sosial kerana memuat naik foto hasil lukisannya yang rata-rata menganggapnya foto hitam putih.

Kohei turut memuat naik proses dan karya separuh siap yang membuatkan ramai penggemar seni teruja kerana setiap hasil sentuhannya begitu realistik dan halus.

Penggunaan pensel untuk menghasilkan lukisan hitam putih realistik bukanlah perkara baru dan ramai artis berbakat mampu menghasilkannya.

Namun, sentuhan Kohei membuat ramai tergamam kerana dia berjaya membawa lukisan realistik pensel ke satu tahap berbeza.

Dilukis dengan penuh ketelitian dan tumpuan yang tinggi, setiap karya Kohei mengambil masa ratusan jam.

Dilengkapi pensel Mitsubishi yang diasah sangat tajam dengan mata yang halus, Kohei begitu komited dan mengambil kira setiap sudut serta perincian dalam karyanya.

Lebih 200 jam diperuntukkan untuk setiap karya dan artis muda dari Okayama ini bijak menterjemahkan garis halus dan bayang di atas kertas.

Kawalan tangan yang baik juga membantu bagi memastikan setiap garisan mampu dizahirkan tanpa sebarang cela khususnya bagi garisan lapisan atas yang sukar dipadam.

Selain karya lukisan skru dan bolt, hasil seni Kohei yang istimewa adalah potret model British Sophia Blackbrough.

Menariknya, potret berkenaan bukan saja memperlihatkan figura Sophia dengan teliti tapi juraian air di muka dan aksesori dipakainya meyakinkan ramai ia adalah foto.

Bagi karya skru dan bolt, walaupun ia kelihatan seperti subjek ringkas atau mudah dilukis tapi kekemasan serta ketelitian yang ditampilkan membuatkan ramai percaya ia adalah skru dan bolt sebenar.

Kohei mengambil kira setiap lekuk kecil dan kesan bersinar pada permukaan logam itu dengan rapi.

Karya model kereta dengan kemasan krom bersinar turut mencuri perhatian kerana pancaran cahaya pada krom dihasilkan dengan baik walaupun hanya menggunakan pensel dan kertas.

Potret artis terkemuka Amerika Syarikat, Scarlett Johansson juga antara yang membuat ramai terpegun.

Kohei bukan saja menampilkan wajah yang realistik tapi garisan kemas dan bersih terutama pada bahagian mata, bibir dan rambut ternyata membuat ramai keliru antara foto dan lukisan.

Disiarkan pada: November 15, 2017 @ 3:25am
d