geny

'Hack & slash lebih padu!'

Oleh Hazril Md Nor

Dalam sejarah, Valkyrie sering dikaitkan dengan kekuatan, keadilan dan pembelaan ke atas umat manusia dan lebih menarik, semuanya wanita.

Konsep Valkyrie seterusnya digunakan secara meluas di dalam industri filem, animasi dan permainan video.

Penulis jarang menemui permainan video yang menampilkan golongan Valkyrie sebagai teraju utama. Kebiasaannya, mereka diperkenalkan sebagai watak pembantu yang terbatas kekuatannya agar tidak menyaingi pesona watak utama.

Tapi kali ini, berlainan pula senarionya di pasaran telefon pintar. Honkai Impact 3 di Google Play Store menampilkan Valkyrie dalam dunia mereka sendiri bagi mengejar misi menentang Honkai.

Sebagai tiga gadis melawan raksasa dan makhluk jahat dalam dunia animasi Jepun, bagaimana anda berjuang dalam permainan ini?

Ikuti kembara Valkyrie

Honkai Impact 3 mengajak anda mengikuti kembara 3 Valkyrie mengharungi beberapa halangan berbeza dan pada masa sama menghayati teknik penceritaan menarik.

AI Chan akan membantu kembara anda. Ibarat tutorial bergerak, AI akan menolong Kiana, Mei dan Bronya memahami beberapa pergerakan biasa ketika berlawan.

Dalam permainan mudah alih ini, nyawa karakter anda amat berharga. Anda harus sentiasa berhati-hati mengelak serangan dan menyerang ketika perlu.

Ini kerana genre ‘hack’ dan ‘slash’ membuatkan anda sentiasa ingin menetak pihak lawan tanpa memerhatikan bar nyawa.

Gunakan kombo berbeza

Menggunakan kemahiran dan kombinasi kuasa berbeza, hancurkan lawak dengan serangan berterusan. Anda boleh mencuba dengan menekan butang serang dua kali.

Gunakan kuasa besar pada saat SP bar anda sudah pun penuh. Perlu diingatkan untuk sentiasa berwaspada dengan serangan pihak lawan.

Butang kawalan juga mudah digunakan untuk bergerak. Anda boleh melakukan dua pergerakan, serang ataupun elak.

Cari misi anda sebagai hero untuk menyelamatkan dunia dengan melihat tab Mission. Ganjaran menarik menemui anda selepas menyelesaikan tugasan.

Naik taraf kelengkapan

Seperti permainan mudah alih lain, naik taraf senjata dan kelengkapan lain untuk terus kekal relevan dalam permainan.

Dapatkan senjata seperti pistol, meriam dan lain-lain menerusi kembara yang makin sukar. Bahan seperti kristal diperlukan untuk menaik taraf pistol agar lebih kuat dan padu.

Secara keseluruhannya, permainan ini sangat menarik dari segi grafik yang optimum di peranti pintar. Ia berbaloi dimainkan pada waktu lapang atau di dalam pengangkutan awam. Pendek kata, ia boleh diakses di mana saja anda berada!

Disiarkan pada: November 16, 2017 @ 1:55am
d