geny

Si cantik berani

Oleh Fatin Farhana Japre

Cantik dan berani! Itulah persepsi penulis sebaik saja melihat aksi lasak gadis berbangsa Cina, Yulina Tan Jad, 23, mengendalikan motosikal berkuasa tinggi di litar Sepang.

Meminati sukan permotoran sejak tiga tahun lalu, Yulina menjalani latihan berterusan untuk memantapkan kemahiran menunggang dan banyak lagi teknik lain menggunakan duit simpanannya sendiri.

Fasih berbahasa Malaysia, Yulina tidak kekok berkongsi kisah pembabitannya menerusi sukan yang bermula sebagai hobi.

Menurut anak kelahiran Kuala Lumpur ini, dia mengambil lesen B Penuh pada usia 20 tahun hanya sekadar suka-suka.

“Selepas dapat lesen, ayah belikan saya motosikal berkuasa tinggi terpakai model Ninja Kawasaki 250.

“Motosikal ini untuk kegunaan harian saya ke universiti dan bekerja separuh masa.

“Disebabkan risau keselamatan saya di jalan raya, ayah mencadangkan agar saya membabitkan diri dalam perlumbaan litar kerana saya sering menunggang laju dan pernah mengalami kemalangan.

“Justeru, saya bersetuju dan mendaftar di litar Speed Way Plus Circuit bersama rakan. Kali pertama menjejakkan kaki di sana, saya sangat takut kerana bimbang tidak mampu memahami terma dalam sukan permotoran dan dikelilingi penunggang lelaki.

“Kemudian saya dibimbing seorang jurulatih dan diajar perkara asas dan teknik menunggang mencecah lutut.

“Sejak itu saya semakin teruja untuk mempelajari banyak teknik lain. Lebih kurang enam bulan, saya mampu menguasai beberapa teknik dan kini masih lagi belajar banyak lagi teknik lumba motosikal,”katanya.

Yulina berkata, lebih setahun dia berlatih sendiri tanpa bimbingan jurulatih. Namun sejak Jun lalu, dia kembali dibimbing Lee Ching Hooi atau lebih dikenali sebagai Panjang di litar Sepang.

“Panjang banyak mengajar saya teknik baru dan tidak kedekut menurunkan ilmu. Selalunya hari biasa, dia akan melatih saya di litar Sepang tetapi hujung minggu di litar Melaka International Motorsport Circuit (MIMC).

“Saya pun sudah menukar motosikal berkuasa tinggi model Kawasaki ZX6R kerana ia lebih sesuai ditunggang di litar.

“Kalau dulu saya memang menunggang untuk hobi tapi sekarang saya mempersiapkan diri berlumba pada kejohanan Malaysian Superbike di Sepang yang dijadualkan dua tahun lagi.

“Bagaimanapun, kalau dalam masa setahun saya sudah bersedia mental dan fizikal, saya boleh berlumba pada tahun hadapan di bawah kategori 600cc Super Sport B khas untuk amatur,” kata anak bongsu daripada dua beradik ini.

Secara amnya, sukan permotoran antara sukan elit dan memerlukan pelaburan yang banyak. Bagi Yulina, faktor ini bukan alasan untuk tidak mengejar impiannya.

“Memang saya datang daripada keluarga sederhana tetapi sukan ini keinginan dan kegemaran saya.

“Oleh itu, saya berusaha mencari duit selagi mampu dengan bekerja sebagai pengacara dan penulis sambilan di media sosial.

“Jangan jadikan alasan faktor kewangan menjadi punca kekangan untuk meneruskan sesuatu perkara yang kita minati.

“Secara jujurnya, lebih dua tahun saya tidak membeli pakaian baru kerana saya gunakan semua duit yang ada untuk dilaburkan dalam sukan permotoran ini,” katanya.

Ketika ditanya mengenai cabaran dan ketakutan yang harus dihadapi untuk berjaya, Yulina berkata, kemalangan adalah perkara biasa dalam hidupnya sekarang.

“Kemalangan ketika perlumbaan atau latihan adalah perkara utama yang saya perlu hadapi untuk melangkah lebih jauh.

“Awal tahun ini, saya terjatuh daripada motosikal sewaktu latihan yang mengakibatkan bahu kanan patah dan dimasukkan sembilan skru.

“Selepas pembedahan, doktor nasihatkan supaya saya berehat selama enam bulan tetapi tidak sampai dua minggu saya dah paksa diri untuk menunggang motosikal.

“Jika teruskan berehat, segala teknik dipelajari akan lupa dan perlu belajar dari awal semula.

“Memang sakit tetapi saya tahan dan ambil masa sampai sekarang untuk pulih sepenuhnya,” katanya.

Perkara biasa apabila perempuan membabitkan diri dalam sukan permotoran, sesetengah pihak akan menyelar hobi ini kononnya tidak sesuai.

Bagi Yulina, kata-kata itu yang menjadikan dirinya lebih positif untuk membuktikan bahawa wanita juga mampu beraksi di litar.

“Jangan takut untuk keluar dari zon selesa, banyak benda baru yang kita boleh cuba selagi masih muda, apatah lagi zaman dah tak sama macam dulu.

“Selama ini ayah saya, Tan Beng Huat yang banyak menyokong dan dia bangga kerana walaupun masih muda, saya boleh berdikari dan mencapai impian hidup,” kata penuntut jurusan Ijazah Sarjana Muda Media Komunikasi dan Politik di Universiti Monash.

Menurutnya lagi, dia memang terfikir untuk beraksi di peringkat antarabangsa tetapi perancangan itu akan direalisasikan sebaik saja tamat pengajian nanti.

“Selepas tamat pengajian, saya nak cari pekerjaan tetap yang fleksibel dan memberi sepenuh perhatian kepada bidang ini.

“Buat masa ini, saya mula dengan perlumbaan berskala kecil terlebih dahulu untuk meningkatkan kemahiran.

“Misi saya untuk menjadi seorang penunggang motosikal berkuasa tinggi terbaik suatu hari nanti,” katanya.

Yulina berkata, dia berharap remaja lain berani menceburi sesuatu yang baru dan tidak mudah menyerah kalah.

“Kita perlu percaya pada diri sendiri, barulah apa yang dilakukan berjaya dicapai,” katanya.

Disiarkan pada: December 4, 2017 @ 1:01pm
d