geny

Kaki kumpul setem

Oleh Redzuan Muharam

Hobi mengumpul setem mungkin dianggap lebih sinonim dengan golongan berumur namun hakikatnya, masih ada peminat tegar dalam kalangan generasi muda.

Seorang daripadanya penuntut Kejuruteraan Pesawat Kolej Penerbangan ADMAL, Imran Taufiq Tuah, 19, yang mula mengumpul setem sejak berumur tujuh tahun.

Menurut Imran, minat itu timbul selepas menemui setem pada sampul surat kepunyaan pembantu rumah yang berasal dari Indonesia dan sehingga kini dia tidak jemu menyimpan setem walaupun hobi berkenaan bukan pilihan remaja sebaya dengannya.

“Dulu, bibik kerap mengirimkan surat kepada keluarganya di Indonesia dan sejak itu, saya mula mengenali setem dan minat untuk mengumpulnya.

“Bagi saya, setem ada keunikannya jadi satu kepuasan apabila dapat mengumpul dan menyimpannya sebagai koleksi peribadi .

“Lagipun, ayah turut berkongsi minat sama jadi semua perkara berkaitan setem akan dibualkan malah hubungan kami juga rapat disebabkan hobi itu,” katanya.

Anak sulung daripada tiga beradik itu berkata, sehingga kini, dia sudah mengumpul kira-kira 3,000 setem yang diperoleh daripada kiriman surat dan dibeli di pejabat pos serta secara dalam talian.

Katanya, sebahagian setem berkenaan dibalut dengan plastik sebelum disimpan rapi di dalam album khas bagi memastikan ia tidak rosak atau koyak.

“Seperti yang kita tahu, setem dirbuat daripada kertas jadi kemungkinan rosak itu ada jika tidak dijaga dengan baik.

“Jadi, kita perlu cermat terutama ketika menanggalkannya kerana setem digam pada sampul surat dan boleh koyak jika tidak berhati-hati.

“Sebagai peminat setem, saya perlu teliti kerana bukan bukan mudah untuk mendapatkan setem tertentu jadi rugi jika rosak disebabkan kecuaian sendiri,” katanya.

Bercerita lanjut, Imran berkata, selain mengumpul setem, dia juga selesa berurusan dengan rakan mahupun kenalan menerusi surat berbanding menghantar kiriman e-mel.

Katanya, walaupun nampak ketinggalan, dia tidak kisah kerana menerusi kaedah itu, dia berpeluang menambah koleksi setem sedia ada.

“Sejak dulu lagi, saya selesa berurusan menerusi kiriman surat walaupun ada lagi kaedah yang lebih pantas.

“Bagi saya, cara itu membolehkan saya mendapat setem yang mungkin belum pernah ada dalam simpanan.

“Itu kelebihannya dan disebabkan terlalu minat, saya tidak pernah menjual setem kepunyaan sendiri kepada sesiapa kerana bagi saya, nilainya amat berharga dan tidak boleh diganti dengan wang ringgit,” katanya.

Disiarkan pada: December 15, 2017 @ 2:25am
d