geny

Azam beraksi di Sukan Asia

Oleh Fatin Farhana Japre

Atlet judo, Mohd Farhan Uzair Mohd Fikri, 21, mengharumkan nama negara pada kejohanan Sukan SEA Kuala Lumpur 2017, Ogos lalu dengan meraih pingat gangsa dalam acara judo bawah 73 kilogram (kg).

Walaupun hanya meraih gangsa, anak jati Kedah ini sudah melakukan yang terbaik dan tetap membanggakan rakyat Malaysia dengan pencapaiannya.

Berpeluang menemu bualnya baru-baru ini, Mohd Farhan tidak lekang dengan senyuman dan sangat positif dalam setiap kata-katanya.

Menurut Mohd Farhan, kejayaannya sekarang tidak mungkin terpahat di ingatan orang ramai jika dia tidak membabitkan diri dalam sukan judo ini.

Berkongsi sejarah pembabitannya suatu ketika dahulu, Mohd Farhan berkata, langkahnya bermula pada usia 13 tahun ketika menjejakkan kaki di Sekolah Sukan Tunku Mahkota Ismail (SSTMI), Bandar Penawar.

“Sebenarnya ketika di tingkatan satu, saya aktif dalam sukan lompat jauh tetapi prestasi menurun sebaik saja memasuki tingkatan dua kerana ketiadaan jurulatih.

“Kemudian, jurulatih lain menyarankan saya menyertai sukan judo berdasarkan bentuk fizikal sesuai.

“Masa kali pertama diberitahu mengenainya, saya sedikit terkejut kerana tidak pernah tahu kewujudan sukan judo.

“Siapa sangka, pertama kali menjalani latihan saya sudah boleh sesuaikan diri dan semakin teruja untuk belajar lebih banyak teknik judo,” katanya.

Menurutnya, dia hanya mengambil masa kira-kira enam bulan untuk mahir dan diberi kepercayaan mewakili negeri beraksi dalam pertandingan besar.

“Bayangkanlah tidak sampai setahun, saya sudah dihantar menyertai pertandingan National Junior kategori bawah 15 tahun di Melaka.

“Ketika itu, saya hanya yakinkan diri supaya tidak menghampakan penyokong yang hadir dan berjaya meraih pingat emas untuk pertandingan itu.

“Selepas itu, saya mewakili Negeri Sembilan untuk Sukan Malaysia (SUKMA) tetapi nasib tidak menyebelahi saya apabila tewas di tangan Chong Wei Fu.

“Bagaimanapun, saya tidak berputus asa dengan berlatih sebaik mungkin dan sekali lagi terpilih mewakili Terengganu untuk beraksi di SUKMA Kuala Lumpur pada usia 15 tahun.

“Saya menyasarkan beraksi sehingga peringkat akhir tetapi tewas ketika pusingan pertama di tangan atlet dari Perak.

“Namun saya langsung tidak patah semangat dan belajar daripada kesilapan,” kata anak sulung daripada empat beradik ini.

Kata penuntut Diploma Pengurusan, MSU College Terengganu ini lagi, dunianya menerusi sukan ini mula menyinar apabila sekali lagi beraksi pada SUKMA 2013 ketika berusia 17 tahun.

“Saya masih ingat memori indah menggenggam pingat emas pertama SUKMA apabila dinobatkan juara bagi kategori bawah 21 tahun.

“Walaupun sudah melakar kejayaan, saya tidak bersenang-lenang dan tetap bekerja keras berlatih setiap hari.

“Oleh itu, sebaik tamat tingkatan lima saya mengambil keputusan menetap di SSTMI bagi persediaan Sukan SEA di Myanmar.

“Tetapi rezeki tidak berpihak kepada saya sekali lagi apabila tewas di peringkat separuh akhir,” katanya.

Mohd Farhan berkata, jurulatihnya, Marjan Abdullah sentiasa memberi sokongan padu dan sanggup membawanya menjalani latihan di luar negara untuk memantapkan prestasi.

“Berbekalkan usaha dan sokongan jurulatih, saya terpilih untuk beraksi di Sukan Komanwel 2014 di Scotland tetapi ditewaskan atlet dari England pada pusingan kedua.

“Selepas itu, pada usia 18 tahun, saya dikejutkan dengan khabar jurulatih akan berpindah ke Majlis Sukan Negeri Terengganu.

“Disebabkan saya tidak mahu episod duka ketiadaan jurulatih pada usia 13 tahun berulang, saya mengambil keputusan menyambung pengajian di MSU College Terengganu bagi memudahkan sesi latihan bersama beliau,” kata anak kelahiran Kulim, Kedah ini.

Katanya, segala pengorbanannya selama ini terasa berbaloi dan dihargai apabila diiktiraf sebagai atlet kebangsaan.

“Saya diiktiraf sebagai atlet kebangsaan selepas menewaskan lawan utama saya, Chong Wei Fu untuk melayakkan diri beraksi di Sukan SEA KL pada Ogos lalu.

“Ketika temasya Sukan SEA, saya memang sasarkan untuk beraksi sehingga peringkat akhir tetapi terpaksa berpuas hati apabila ditewaskan atlet dari Indonesia dengan beza satu mata pada minit terakhir perlawanan.

“Namun begitu, saya tetap berbangga kerana ini pencapaian terbaik saya sepanjang membabitkan diri menerusi sukan judo ini,” katanya.

Ketika ditanya mengenai cabaran yang perlu dihadapi untuk bergelar atlet judo profesional, Mohd Farhan berkata dalam sukan ini sakit dan patah fizikal adalah perkara biasa.

“Saya perlu tahan lasak selain menguatkan tenaga serta stamina. Setakat ini, saya tidak pernah alami kecederaan yang serius dan berharap dijauhkan pada masa akan datang.

“Selain itu, saya perlu mengekalkan berat badan dengan mengamalkan pemakanan seimbang.

“Selepas banyak pengorbanan dan usaha yang dilakukan saya mahu beraksi di Sukan Asia dan sudah memulakan persiapan dari sekarang.

“Di samping itu, saya turut melatih 30 atlet junior untuk beraksi di SUKMA tahun hadapan,” katanya yang menjadi juara bertahan National Senior empat tahun berturut-turut.

Mohd Farhan berkata, dia berharap dapat mendedahkan kewujudan sukan ini kepada remaja.

“Saya impi memajukan sukan ini supaya orang ramai tahu kewujudan sukan judo di negara kita.

“Oleh itu, saya perlu memulakan langkah dengan memenangi kejohanan bertaraf dunia yang membawa nama negara sekali gus meraih kemenangan untuk dikenang selama-lamanya,” katanya.

“Saya perlu tahan lasak selain menguatkan tenaga serta stamina. Setakat ini, saya tidak pernah alami kecederaan yang serius dan berharap dijauhkan pada masa akan datang.

“Selain itu, saya perlu mengekalkan berat badan dengan mengamalkan pemakanan seimbang.

“Selepas banyak pengorbanan dan usaha yang dilakukan saya mahu beraksi di Sukan Asia dan sudah memulakan persiapan dari sekarang.

“Di samping itu, saya turut melatih 30 atlet junior untuk beraksi di SUKMA tahun hadapan,” katanya yang menjadi juara bertahan National Senior empat tahun berturut-turut.

Mohd Farhan berkata, dia berharap dapat mendedahkan kewujudan sukan ini kepada remaja.

“Saya impi memajukan sukan ini supaya orang ramai tahu kewujudan sukan judo di negara kita.

“Oleh itu, saya perlu memulakan langkah dengan memenangi kejohanan bertaraf dunia yang membawa nama negara sekali gus meraih kemenangan untuk dikenang selama-lamanya,” katanya.

Disiarkan pada: January 1, 2018 @ 3:47pm
d