geny

Semua bermula di Gaza

Oleh Shuhada Mansor

Berkongsi pengalaman paling sukar sepanjang pembabitannya dalam misi kemanusiaan, Lutfi Hafifi Japili menganggap peristiwa dia ditahan di Gaza, Palestin antara detik yang membuatkan dia sedar mampu teruskan usaha dalam bidang ini.

“Terperangkap hampir dua minggu kerana tidak dibenarkan keluar oleh Mesir (pintu sempadan ditutup) memang meresahkan, namun perkara ini bertukar menjadi kisah istimewa apabila saya dapat merakamkan peristiwa perarakan syahid yang gugur di bumi Gaza.

“Itu antara momen paling sukar dan indah sepanjang pembabitan saya lebih tujuh tahun sebagai pekerja dalam misi kemanusiaan,” katanya.

Lutfi yang pernah belajar di Universiti Mu’tah, Jordan berkata, 2011 adalah tahun pertama dia menyertai dalam misi kemanusiaan bersama Mycorps di Lubnan dan ditugaskan di kem pelarian Palestin.

PERNAH JADI WARTAWAN PENYIARAN

Selepas tamat pengajian dan kembali ke tanah air, dia mencuba bidang baru dan memilih kewartawanan.

“Kerana minat yang cukup tinggi dalam penulisan dan isu semasa, apatah lagi pengalaman bertugas di kawasan konflik mendorong saya untuk cuba bidang ini.

“Hampir lima tahun bekerja sebagai wartawan penyiaran di sebuah stesen televisyen, saya ambil keputusan untuk bergerak bebas dan kembali ke dunia misi kemanusiaan,” katanya.

Lebih menggembirakan apabila usaha kerasnya dihargai. Hasil karya dia dan rakan sekumpulan pernah tersenarai sebagai lima finalis bagi kategori dokumentari pada Anugerah Skrin 2014 dan Anugerah Sri Angkasa 2014 bagi Program Mentari Palestin.

MOMEN PALING SUKAR

“Perkara paling mencabar adalah mengurus emosi. Sebagai pekerja dalam bidang yang penuh risiko ini, saya tidak terlepas daripada berhadapan dengan emosi menyakitkan, mengerikan dan sedih. Itu perkara biasa.

“Oleh itu, kalau ada masa lapang, saya lebih suka habiskan waktu untuk diri sendiri iaitu memasak, makan dan membaca,” katanya.

Antara situasi berbahaya yang pernah dialami Lutfi adalah ketika berada di Beirut.

Katanya, letupan berlaku berdekatan tempat dia bertugas namun syukur kedudukannya yang cuma berbeza 10 minit dari lokasi pengeboman membuatkan mereka selamat.

“Misi saya untuk berkhidmat di sekurang-kurangnya 100 negara. Sekarang sudah 45 negara. Selain itu, saya berharap dapat berkhidmat di agensi kemanusiaan lebih besar seperti Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.

“Saranan saya, sertailah kerja kemanusiaan walaupun hanya menyapu surau di kawasan rumah anda, penuhkan aktiviti dengan kerja bermanfaat,” katanya.

Disiarkan pada: January 8, 2018 @ 2:59pm
d