geny

Keprihatinan 'Si Rashid'

Oleh Redzuan Muharam

Rasa tanggungjawab mendorong dua anak muda, Mohd Fazrysham Kamran dan Mohd Shahrulnizam Alias menggerakkan inisiatif membantu kanak-kanak, remaja dan wanita kurang bernasib baik menerusi pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Komuniti Harmoni Kita (KHK).

Mohd Fazrysham yang juga pengasas berkata, KHK yang berpusat di sebuah rumah perlindungan di Pandan Jaya, Kuala Lumpur ditubuhkan pada 23 Oktober 2016 dan sudah berdaftar dengan Pendaftar Pertubuhan (ROS).

Katanya, buat masa ini, hanya lapan penghuni ditempatkan di rumah berkenaan dan semuanya diletakkan di bawah jagaan seorang sukarelawan wanita.

“Antara yang membimbangkan kita ketika ini adalah peningkatan masalah sosial seperti pembuangan bayi oleh remaja bawah umur, keganasan terhadap wanita dan eksploitasi kanak-kanak.

“Jadi, dalam usaha membendung masalah itu, saya sepakat menubuhkan NGO yang beroperasi di rumah perlindungan untuk menempatkan golongan berkenaan.

“Selain mendapat perlindungan, mereka juga diberi bimbingan menerusi aktiviti mengaji al-Quran, pemulihan akhlak dan kaunseling untuk menjadi ibu pada usia muda dengan bantuan sukarelawan luar. Cuma bilangan penghuni kini hanyalah lapan orang dan mereka dihantar sendiri oleh ibu bapa serta penjaga,” katanya.

Mohd Fazrysham berkata, untuk kelangsungan KHK, pihaknya melaksanakan projek ternakan ayam kampung di Slim River, Perak bagi mencari dana tambahan untuk membantu penghuni terbabit.

Katanya, projek itu mendapat kerjasama individu perseorangan yang bermurah hati membenarkan mereka menggunakan tanah kepunyaannya untuk dijadikan pusat ternakan.

“Selain aktif dengan NGO, saya juga mengendalikan laman ‘Si Rashid’ yang kini mempunyai lebih 587,000 pengikut di Facebook.

“Pada awal penubuhan, kami mengumpul dana daripada pengikut dengan tujuan mengajak mereka menghulurkan bantuan kepada golongan yang kurang bernasib baik.

“Namun, kami tidak mahu terus bergantung kepada sumbangan orang ramai sebaliknya mahu berusaha sendiri untuk mendapatkan dana. Projek ini alternatif yang boleh dijadikan sumber kewangan bagi menanggung kos operasi rumah perlindungan berkenaan,” katanya yang mahu memberi inspirasi kepada rumah perlindungan lain untuk menjana ekonomi sendiri.

Sementara itu, Mohd Shahrulnizam mengakui gembira kerana dapat bersama dengan rakannya, Mohd Fazrysham dalam menggerakkan KHK untuk membela nasib golongan berkenaan.

“Selepas berkenalan dengan Mohd Fazrysham, saya menyatakan hasrat membantu mereka yang memerlukan dan memandangkan dia mempunyai pengalaman dalam aktiviti amal, kami sepakat menjalin kerjasama.

“Bermula daripada situ, kami menubuhkan syarikat bersama iaitu Alshah Media Network Sdn Bhd dengan saya sebagai pengasas selain mewujudkan NGO iaitu KHK yang berperanan membantu insan memerlukan,” katanya.

Disiarkan pada: January 10, 2018 @ 2:08am
d