geny

Geek Fam sudah bersedia!

Oleh Hazril Md Nor

Permulaan tahun baru menyaksikan peningkatan dalam penganjuran e-sukan terutama Dota 2 di rantau Asia Tenggara.

Tidak cukup dengan acara Malaysia Cyber Games 2018 dan ESL One Genting di Malaysia yang akan dilangsungkan, wakil negara, Geek Fam melebarkan sayap ke Indonesia bagi menyertai satu kejohanan berprestij di sana pada 19 Januari ini (esok).

Kejohanan Asia Pacific Predator League 2018 itu mengumpulkan pasukan terbaik dari lapan negara iaitu Indonesia, Filipina, Malaysia, Thailand, Singapura, Hong Kong, India dan Sri Lanka yang berentap untuk merebut hadiah wang tunai AS$150,000 (RM593,610).

Geek Fam berjaya melepasi pusingan kelayakan di Malaysia dan kini bersedia menghadapi pusingan akhir di Jakarta, Indonesia.

Pengurus Geek Fam Wong Kok Wheng berkata, pihaknya menyasarkan tempat pertama untuk kejohanan kali ini.

“Sejak mereka berlima berada dalam satu pasukan, saya boleh rasakan keakraban dan keserasian antara satu sama lain.

“Jadi memang tiada masalah untuk menghadapi pusingan akhir di Jakarta ini. Kami juga menyasarkan tempat pertama dan saya percaya mereka sudah bersedia dengan latihan yang mencukupi setiap hari,” katanya.

Menurutnya, Geek Fam tidak pernah berasa berada dalam zon selesa dan sentiasa bersedia membaiki kelemahan lebih-lebih lagi apabila berdepan kejohanan berprestij seumpama ini.

“Walaupun mereka boleh main bersama dengan baik, setiap ahli perlu sentiasa memperbaiki kesilapan dalam permainan.

“Sebagai contoh, rutin kami selepas tamat latihan (scrim) ialah menonton kembali ulangan perlawanan untuk mengenal pasti kelemahan. Jika kesalahan ini tidak diatasi, saya yakin agak sukar untuk mereka berdepan dengan pasukan lain,” katanya.

Antara pencapaian terkini Geek Fam ialah tempat pertama di kejohanan ZOTAC Cup Premier: DOTA2 SEA dan kedudukan pertama dalam liga MESL (Malaysia Esports League).

Pasukan ini dianggotai tiga pemain Malaysia, Kee Chyuan Ng, Thiay Jun Wen, Chan Chon Kien dan dua pemain Filipina, Andrei Ong dan Prieme Ejay Banquil. Ayuh kita bagi sokongan padu kepada mereka untuk perlawanan esok!

Disiarkan pada: January 18, 2018 @ 12:41am
d